Malaysia berisiko terus diceroboh ejen Israel

Malaysia berisiko terus diceroboh ejen Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu meningkatkan tahap keselamatannya susulan penangkapan lelaki Israel di ibu negara baru-baru ini kerana dikhuatiri mengulangi insiden pembunuhan pensyarah warga Palestin, Dr. Fadi Mohammed Al Batsh oleh perisik Israel.

Dua ejen perisikan yang didakwa membunuh Dr. Fadi pada April 2018 dan penangkapan terbaharu lelaki Israel bersama enam pucuk senjata api dengan 200 butir peluru itu ialah mereka menggunakan pasport negara lain untuk ‘menyelinap masuk’ ke Malaysia.

Penganalisis jenayah yang juga pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, potensi Malaysia diceroboh perisik Israel menggunakan pasport lain itu sentiasa ada.

Oleh itu, kata beliau, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu mempertingkatkan keselamatan di pintu sempadan dengan melakukan pemeriksaan lebih ketat terhadap individu yang disyaki memasuki negara menggunakan pasport kedua.

“Lelaki warga Israel yang memasuki Malaysia itu menggunakan pasport Perancis yang tulen tetapi kenapa dia mempunyai sehingga enam pucuk pistol? Kita bimbang dia ingin mengedarkan senjata api itu kepada tali barut lain.

“Jika menggunakan pasport tidak menyatakan negara asal, kita boleh lihat tempat lahir mereka contoh jika nampak Tel Aviv sudah pasti mereka merupakan warga Israel. Jadi kita boleh halang dan tolak kemasukan mereka.

“Selain itu, melihat gaya pertuturan mereka sekiranya benar dari Perancis, adakah bahasa yang digunakan benar-benar dari negara tersebut? Sekiranya timbul rasa curiga, kita perlu buat semakan lanjut bagi memastikan tiada warga Israel lepas masuk ke dalam negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Malaysia digemparkan dengan penangkapan seorang lelaki Israel yang mempunyai enam pucuk pistol dan 200 peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu minggu lalu.

Penahanan tersebut membangkitkan tanda tanya termasuk daripada Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali yang mempesoal pengakuan lelaki Israel tersebut yang mendakwa dia memasuki negara ini untuk membunuh seterus ketua kumpulan mafia kerana pemilikan senjata banyak untuk membunuh seorang musuh.

Melihat tragedi pembunuhan Dr. Fadi, arwah ditembak mati oleh dua lelaki menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan suspek-suspek digambarkan berwajah ‘Asia Barat’. Semasa kejadian mangsa sedang berjalan dari kondominiumnya di Setapak menuju masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh.

Siasatan polis kemudian mengesan suspek terlibat melarikan diri ke Thailand menggunakan laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penangkapan tersebut menunjukkan Malaysia menjadi sasaran oleh Israel untuk menceroboh negara ini.

“Israel juga pernah nyatakan bahawa mereka mahu memburu anggota Hamas di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Kenyataan tersebut menunjukkan negara kita berada di dalam radar rejim Zionis itu terutama agensi perisik mereka Mossad,” jelasnya.

Mohd. Azmi berkata, pihak berkuasa juga perlu menyiasat bagaimana rakyat Malaysia yang ditahan menjadi dalang pembekal pistol dan pemandu kepada warga Israel tersebut.

“Selain daripada menyiasat apakah tujuan dan bagaimana warga Israel dapat memasuki Malaysia, kita juga perlu siasat bagaimana rakyat tempatan boleh digunakan oleh penjenayah Israel.

“Pihak perisik juga perlu meningkatkan pengawasan mereka melalui jentera-jentera yang ada. Kita tidak boleh pandang remeh mengenai penangkapan seorang lelaki warga Israel itu, tidak boleh anggap ini hanya perkara yang berlaku sekali sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN