HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) menegaskan, sepanduk logo yang dilihat semasa hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, Sabtu lalu adalah sebagai manifestasi apa yang berlaku dalam UMNO.
Sepanduk itu menggambarkan imej keris pada logo UMNO digantikan dengan roket DAP.
Pengarah Jentera Pilihan Raya PN PRK Kuala Kubu Baharu, Muhammad Hilman Idham berkata, logo tersebut menunjukkan keadaan UMNO yang bergabung dengan DAP.
Katanya, hubungan antara UMNO dan DAP tidak pernah direstui oleh ahli-ahlinya sendiri malah kerjasama itu ditolak sekeras-kerasnya.
“Jangan salahkan kami sebab kita tidak tahu siapa yang membawa sepanduk logo UMNO yang bercantum dengan logo DAP.
“Boleh jadi yang membawa sepanduk itu ahli UMNO cawangan Kuala Kubu Bharu dan ahli UMNO dalam kawasan yang terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PN, di sini hari ini.
Semasa hari penamaan calon PRK berkenaan, terdapat sepanduk logo UMNO yang mana lambang ‘keris’ diganti dengan ‘roket’ DAP.
Ekoran itu, UMNO membuat laporan polis dan menggesa pihak berwajib mengambil tindakan kerana berasakan sepanduk berkenaan mengundang kemarahan ahli parti tersebut.
Muhammad Hilman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, kehadiran penyokong dalam perarakan ketika penamaan calon pada 27 April lalu adalah untuk mengekspresikan kekecewaan mereka terhadap politik negara.
“Jangan menyekat kebebasan rakyat untuk berkreativiti kerana hari ini kerajaan menyekat semua perkara.
“Kebebasan media disekat, kebebasan bersuara disekat, semua kebebasan disekat. Pada pendapat saya, itu perkara biasa dan itu yang disuarakan oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN










