Lelaki mengaku tidak bersalah tikam adik tiri guna pisau - Utusan Malaysia

Lelaki mengaku tidak bersalah tikam adik tiri guna pisau

L. THIYAGARAJ (tengah) mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mencederakan adik tiri perempuan menggunakan pisau pemotong sayur di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang kelindan lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan adik perempuan tirinya menggunakan pisau pemotong sayur, April lalu.

Tertuduh, L. Thiyagaraj, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret T. Ashvinii.

Mengikut pertuduhan, bapa tunggal itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap L. Dewi, 31, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur jenama Kiwi di sebuah rumah di Taman Muhibbah di Teluk Intan pada pukul 8 malam, 8 April 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan, iaitu penjara hingga dua kali ganda daripada hukuman penjara yang dikenakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Noor Aisyah Mat Isa mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh beserta syarat tambahan lelaki itu tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis memohon jumlah jaminan minimum dikenakan terhadap tertuduh yang mempunyai tanggungan seorang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tanbahan tidak boleh berjumpa mangsa sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 9 Mei depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tangkapan terhadap lelaki itu dibuat susulan laporan polis oleh mangsa yang mendakwa cedera ditikam abang tirinya di bahagian belakang badan.

Kejadian itu dikatakan bermula daripada pertengkaran mulut antara mangsa dan tertuduh sebelum lelaki itu bertindak di luar kawalan dengan mengambil pisau pemotong sayur dan menikam mangsa sebanyak satu kali. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN