Lelaki Israel bersama 6 pistol, 200 peluru didakwa esok

Lelaki Israel bersama 6 pistol, 200 peluru didakwa esok

KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara mengesahkan lelaki Israel yang ditahan bersama enam pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Ampang pada  27 Mac lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, suspek yang memasuki negara ini menggunakan pasport Perancis  dan masih dalam tahanan reman akan dibawa ke mahkamah esok untuk pertuduhan.

‘Esok kita bawa lelaki ini ke mahkamah untuk pertuduhan,” kata Razarudin.

Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel ditahan bersama  enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger bersama  200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac lalu, menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menerusi siasatan juga suspek mendakwa memasuki negara ini untuk misi membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya di Israel.

Susulan soal siasatan ke atas lelaki itu, polis kemudian memberkas pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada 29 Mac kerana disyaki menjual enam senjata api kepada lelaki Israel itu.

Selain suami isteri itu, polis menahan 12 lagi individu lain dalam beberapa siri serbuan di Johor, Kelantan dan Lembah Klang.

Susulan itu, pasangan suami isteri tersebut telah  didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada 8 April lalu berhubung pemilikan pistol 9mm CZ 75.

Sharifah Faraha Syed Husin, 41, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPAA) kerana didakwa memiliki pistol itu.

Sementara itu, suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, didakwa mengikut Seksyen 9 akta sama kerana bersubahat dengan Faraha apabila dia didakwa mengetahui pistol itu dalam pemilikan isterinya.

Menurut dokumen mahkamah, pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 8 malam, 29 Mac lalu di sebuah premis di Kampung Bukit Belimbing di Kuala Selangor.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN