Lebuh raya antara 122 'lubuk' kemalangan maut

Lebuh raya antara 122 ‘lubuk’ kemalangan maut

122 lokasi panas termasuk lebuh raya antara yang dikenalpasti sering berlaku kemalangan maut pada musim perayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 122 kawasan panas dikenal pasti sebagai ‘lubuk’ kerap berlaku kemalangan maut pada musim perayaan dengan 46 lokasi melibatkan lebuh raya kendalian Plus Malaysia Berhad (PLUS) dan Anih Berhad (Anih).

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, sebanyak 76 lagi lokasi melibatkan Jalan Persekutuan iaitu jalan yang menghubungkan pergerakan antara negeri ke negeri.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, jalan bandaran menyumbang 47.6 peratus kemalangan diikuti jalan negeri sebanyak 17.7 peratus.

Katanya, Jalan Persekutuan pula merekodkan sebanyak 12.9 peratus kemalangan maut berlaku selain di lebuh raya utama (11.1 peratus) dan lain-lain jalan sebanyak (10.7 peratus).

“JSPT bersama dengan agensi keselamatan jalan raya lain, mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan kadar kemalangan sempena musim perayaan Aidilfitri bagi tahun ini.

“Semua Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (KBSPTD) akan menganalisis statistik kemalangan ketika perayaan yang lepas. Ia bertujuan menilai, melihat dan mengatur gerak penugasan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di semua lokasi panas yang dikenal pasti,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti terdapatnya kes kemalangan akan dipantau secara berkala iaitu pendekatan omni presence bagi menunjukkan kehadiran JSPT dirasai di lokasi tersebut.

Mohd. Azman memberitahu, keutamaan diberikan kepada kes yang melibatkan kemalangan maut.

“Penguatkuasaan secara berterusan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada kemalangan raya dan keutamaan penguatkuasaan menjurus kepada kesalahan berjadual di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Petugas JSPT juga akan memastikan pematuhan terhadap peraturan lalu lintas oleh pengguna jalan raya dan mengambil tindakan terhadap pelanggaran peraturan lalu lintas,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, penyelarasan bersama agensi luar seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaksanakan dengan pemberhentian sementara kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal untuk menghindari gangguan aliran trafik.

“Advokasi Keselamatan jalan raya melalui kerjasama dengan media massa juga begitu penting dalam memupuk kesedaran pengguna jalan raya tentang keselamatan dan langkah-langkah terbaik untuk mengatasi kemalangan.

“Op Selamat juga akan dilaksanakan bagi mengurangkan kes kemalangan maut yang sering meningkat ketika musim perayaan.

“JSPT akan berusaha untuk permudahkan pergerakan lalu lintas sepanjang musim perayaan dengan mengenal pasti lokasi-lokasi kesesakan yang ketara dengan pemantauan secara berterusan oleh Federal Traffic Control Center (FTCC),” ujarnya.

Mohd Azman turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan baik dan selamat setelah menjalani pemeriksaan fizikal.

“Sikap berkerjasama, bertanggungjawab antara satu sama lain ketika berada di dalam pergerakan lalu lintas adalah elemen yang sangat penting.

“Rancang perjalanan, berhemah, berhati-hati dan fokus kepada pemanduan akan mengurangkan kes kemalangan terutama kes kemalangan maut yang membawa kepada kematian atau kehilangan nyawa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN