SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menjelaskan agenda reformasi yang dilaksanakan kerajaan perlu membawa manfaat kepada rakyat agar berbilion ringgit wang negara dapat diselamatkan.
Beliau berkata, antaranya melaksanakan subsidi bersasar seperti petrol, diesel, tarif elektrik dan air serta kawalan terhadap harga barangan keperluan seperti ayam yang menjimatkan RM1 bilion setiap tahun.
Menurutnya, langkah dilakukan kerajaan termasuklah mengambil keputusan berani memansuhkan subsidi harga ayam yang menampan kenaikan harga ayam setiap tahun.
“Ini yang dikatakan reform, saya hendak nasihat yang agak sinis terhadap reform, reform dalam erti kata apa manfaat bagi golongan miskin, pekerja ladang, nelayan di kampung, pekebun kecil, Melayu, India di ladang, pekerja (swasta), penjawat awam, itu yang mesti disampaikan.
“Ayam, berpuluh tahun sejak saya jadi Menteri Kewangan dahulu, setiap kali perayaan mesti akan naik, mesyuarat tergempar tambah suntikan wang, puluh tahun untuk mengawal harga siling ayam, kerajaan sediakan RM1 bilion setiap tahun.
“Tahun lalu kita ambil keputusan berani, kita hentikan RM1 bilion, kita beritahu kartel ayam buat keuntungan tetapi jangan tekan peniaga. Kemudian harga ayam terkawal,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR, hari ini.
Malah, jelasnya, kerajaan turut melaksanakan keputusan-keputusan dibuat kerajaan sebelum ini termasuk penjajaran semula subsidi petrol dan pelbagai manfaat lain yang turut dinikmati golongan kaya serta 3.5 juta penduduk warga asing.
“Politik tak cerdik bagi subsidi pada orang yang tak bayar cukai, datang tanpa kebenaran kemudian beri subsidi elektrik, lebih RM4 bilion kita selamatkan.
“Dia hendak marah kita kenapa? Sekarang orang tanya tentang subsidi minyak dan diesel, cara rasional harus kita lakukan sebab minyak yang kita subsidi tiap kali digunakan, itu menguntungkan semua rakyat. Yang paling kaya pun dapat.
“Itu kerja tak cerdik, 3.5 juta orang asing dapat subsidi. Bila kita naik (jadi kerajaan), kita beri suntikan langsung kepada rakyat. Itu kaedah kita fikir berapa lama, puluh tahun kerajaan setuju tetapi takut untuk laksanakan. Kerajaan ini berani, kita laksanakan untuk rakyat,” tegasnya.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan rakyat tidak perlu terpukau dengan slogan ‘hidup Melayu’ atau ‘kerajaan Islam’.
“Bila kita ambil tindakan terhadap orang yang mahakaya di negara ini, dengan hasil puluhan bilion, mana suara mereka, mana suara pejuang islam dan Melayu, semuanya kelu mebisu takut berdepan dengan orang yang kaya dan rasuah.
“Pengeluaran getah ada yang kata pekebun ramai tak sokong Pakatan Harapan (PH), saya tak ambil kira, kita harus bantu mereka. Yang saya tahu naik selepas kita ambil alih kerajaan kepada RM3 sekilogram.
“Maknanya pada 2020 RM2.50 sekarang RM3. Subsidi harga padi, tak naik berpuluh tahun, tahun 2022 kita naikkan, belum cukup, tetapi bagi orang yang ikuti politik pembangkang, kenapa tak naikkan semasa perintah?
“Kamu kata hidup melayu, tetapi itu melayu, yang kamu pertahankan itu Melayu kaya. Kita kena agresif. Lawan tetap lawan,” jelasnya. – UTUSAN










