Kotak hitam helikopter Maritim Malaysia ditemui - Utusan Malaysia

Kotak hitam helikopter Maritim Malaysia ditemui

Kotak hitam
PASUKAN penyelam membawa kotak hitam helikopter Maritim Malaysia selepas ditemukan pada jarak kira-kira 760 meter dari lokasi nahas dekat perairan berhampiran Pulau Angsa di Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kotak hitam helikopter milik Agensi Penguatkuasaan maritim Malaysia (Maritim Malaysia) jenis AW139 yang terhempas berhampiran perairan Pulau Angsa, di sini akhirnya ditemui selepas misi mencarinya memasuki hari ke-44, hari ini.

Kotak hitam tersebut ditemui selepas bahagian ekor helikopter terbabit dikesan berada pada kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa iaitu kira-kira 760 meter dari lokasi nahas tersebut pada 5 Mac lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd. Amin berkata, kotak hitam tersebut ditemui oleh pasukan penyelam penyelamat Maritim Malaysia pada misi pencarian di lokasi nahas.

“Selepas berjaya dinaikkan dari dasar laut, kotak hitam berkenaan dibawa ke makmal untuk dianalisis data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden yang berlaku.

“Maritim Malaysia menjangkakan keputusan data akan diperoleh dalam masa terdekat berikutan keadaan kotak hitam tidak mengalami sebarang kerosakan yang teruk.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, operasi pencarian tersebut melibatkan 21 penyelam yang berhadapan dengan kesukaran berikutan arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air terhad akibat dasarnya berlumpur.

Terdahulu, Utusan Malaysia helikopter Maritim Malaysia terhempas di Perairan Angsa ketika pihak berkuasa itu sedang melakukan aktiviti latihan menyelamat.

Maritim Malaysia dalam kenyataannya memberitahu, kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 9.55 pagi dengan empat penumpangnya terselamat dengan diberikan bantuan awal oleh bot pemancing.

Mereka terdiri daripada Leftenan Komander Maritim, Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Maritim Muhamad Nurhayyat Hashim.

Dalam pada itu, Hamid memaklumkan misi pencarian kotak hitam tersebut turut dikoordinasikan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) serta kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Selain itu, turut serta adalah Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia serta kru kapal dan bot Maritim Malaysia Selangor,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN