GEORGE TOWN: Seorang kontraktor sambilan terlepas hukuman gantung apabila dikenakan hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki kanabis seberat 653.38 gram, enam tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Pulau Pinang, Rofiah Mohamad memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, M. Kummaresan, 30, dan setelah meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.
Selain itu, Kummaresan turut dikenakan hukuman penjara dua tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tambahan iaitu pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamin seberat 4.85 gram.
Rofiah memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak dan ia bermula dari tarikh ditangkap pada 13 April 2019, dan Kummaresan turut dikenakan hukuman 10 sebatan atas kesalahan itu.
Bagaimanapun, isteri kepada Kummaresan, A. Sharnia, 30, yang dituduh secara bersama-sama melakukan kesalahan itu, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, Kummaresan didakwa memiliki kanabis seberat 653.38 gram di sebuah rumah di Lebuh Sungai Pinang, George Town, kira-kira pukul 1.10 pagi, pada 13 April 2019.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan.
Bagi pertuduhan tambahan pula, Kummaresan dituduh telah memiliki dadah jenis methamphetamin seberat 4.85 gram, dan kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi dan masa yang sama dengan pertuduhan pilihan.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama.
Bagi pertuduhan utama, Kummaresan didakwa mengedar dadah berkenaan dan mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Terdahulu, Peguam Pravin Mahentran memohon mahkamah memberikan hukuman penjara yang ringan kepada Kummaresan kerana ketika ditangkap dia hanya berusia 25 tahun dan telah direman selama lima tahun di penjara reman.
”Selain itu, Kummaresan dan isterinya juga baharu berkahwin pada 25 Mac 2019, iaitu 19 hari sebelum ditahan, malah mereka juga tidak sempat membuat perkahwinan adat kerana ditahan polis.
”Kummaresan juga masih muda dan harus diberi peluang membina kehidupan baharu, selain itu dia juga telah mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan serta menjimatkan masa mahkamah,” katanya.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, NurHanisah SH Sahul Hamid memberitahu mahkamah bahawa mahkamah harus memberikan hukuman setimpal kepada Kummaresan berdasarkan jumlah dadah yang ditemui. – UTUSAN










