Khidmat, jasa mendiang Joseph Kurup sentiasa diingati

Khidmat, jasa mendiang Joseph Kurup sentiasa diingati

pmks
EWON BENEDICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Khidmat dan jasa mendiang Tan Sri Joseph Kurup dalam membangunkan masyarakat, negeri serta negara akan sentiasa dikenang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, parti yang diterajuinya, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mempunyai sejarah hubungan rapat dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) diasaskan Joseph  kerana kedua-duanya  adalah komponen Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu.

“Dalam kepemimpinan, mendiang Tan Sri Joseph telah memberikan yang terbaik kepada rakyat dan negara kita. 

“Saya telah menghubungi saudara Arthur menyampaikan salam takziah saya dan parti UPKO atas pemergian ayahanda tercinta Tan Sri Joseph Kurup. Saya doakan agar saudara Arthur dan keluarga diberi kekuatan,” katanya menerusi laman media sosial Facebook semalam.

Ewon berkata, beliau dan pimpinan UPKO akan berkunjung untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

PBRS yang diasaskan oleh mendiang Joseph kini diterajui anaknya, Datuk Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Sementara itu, Presiden Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony menyifatkan pemergian bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu sebagai satu kehilangan besar buat Sabah.

Beliau berkata, mendiang bukan sahaja berdedikasi dalam menjalankan tugasnya sebagai menteri di peringkat persekutuan, tetapi konsisten dengan perjuangannya membantu rakyat di negeri ini, khususnya di pedalaman.

Katanya, Joseph adalah antara pemimpin dari suku kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) yang banyak berjasa kepada bangsanya.

“Pemergian beliau (Joseph) sangat mengejutkan kita semua. Secara peribadi saya menyanjungi beliau, begitu banyak sekali jasanya, bukan sahaja kepada rakyat di negeri ini, tetapi seluruh negara.

“Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga mendiang termasuk sahabat saya, Datuk Arthur Joseph Kurup, semoga mereka tabah menghadapi waktu sukar ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×