Ketua pengawal keselamatan didakwa beri salinan laporan polis palsu

Ketua pengawal keselamatan didakwa beri salinan laporan polis palsu

Mathuews Anne Jerome hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan memberi salinan laporan polis palsu. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang ketua pengawal keselamatan kedai serbaneka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memberi salinan laporan polis palsu, dua bulan lalu.

Mathuews Anne Jerome, 46, selaku orang kena saman (OKS) meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu, didakwa memberi laporan kepada Inspektor Khairul Hazran  Mazalan, iaitu maklumat salinan laporan polis palsu dengan niat menyebabkan pegawai tersebut mengambil tindakan terhadap maklumat itu. 

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pukul 7.10 petang pada 22 Februari lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Elizabeth Mai yang mewakili Mathuews merayu kadar itu dikurangkan kerana dia perlu menyara isteri dan empat anaknya.

“Anak sulungnya kini melanjutkan pelajaran di kolej manakala tiga lagi masih bersekolah. OKS juga menghidap penyakit tiroid dan memerlukan rawatan susulan,” katanya.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua pihak, Illi Marisqa membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin.

Tarikh 14 Mei ini ditetapkan untuk sebutan kes. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN