Kes tembak di KLIA: Pintu masuk negara terkawal, selamat - Utusan Malaysia

Kes tembak di KLIA: Pintu masuk negara terkawal, selamat

SHAMSUL Anuar Nasarah (kanan) beramah mesra dengan pesara polis pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga IPD Pengkalan Hulu dan pesara polis di Gerik hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di semua pintu masuk negara berada dalam keadaan terkawal dan selamat susulan kejadian tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, orang ramai tidak perlu gusar kerana semua agensi keselamatan sentiasa bersiap siaga bagi menangani sebarang ancaman jenayah.

Malah katanya, kerajaan juga sentiasa meletakkan keselamatan orang ramai sebagai keutamaan.

“Rakyat tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan di KLIA dan pintu-pintu masuk sempadan negara kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan lain sentiasa mengambil berat berkaitan hal tersebut.

“Malah, setiap agensi keselamatan juga sentiasa mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keadaan (di pintu masuk negara) adalah selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja dan Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dan Pesara Polis, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim.

Mengulas lanjut beliau berkata, insiden sedemikian bukan pertama kali berlaku malah kes-kes besar yang terjadi sebelum ini telah ditangani dengan baik oleh pihak polis.

Sehubungan itu, orang ramai diminta meletakkan kepercayaan kepada pasukan keselamatan untuk menjalankan siasatan sehingga tertangkapnya suspek.

“Saya percaya PDRM sedang menangani isu ini dengan bersungguh-sungguh dan mengambil langkah sewajarnya terutama di pintu sempadan negara supaya suspek tidak bolos ke negara jiran,” katanya.

Awal pagi semalam, seorang lelaki nekad cuba menembak isterinya dari jarak dekat di balai ketibaan Terminal 1 KLIA namun tersasar dan mengenai pengawal peribadi mangsa.

Suspek, Hafizul Harawi, 38, berjaya melarikan dirinya dengan sebuah kereta dan kes itu disiasat pihak polis mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN