HULU SELANGOR: Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menjangkakan tiada lagi serangan peribadi terhadapnya dalam tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Beliau yang juga Pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor berkata, kempen tersebut perlu dijalankan dengan cara yang baik tanpa menyerang peribadi calon lain.
“Saya rasa sudah-sudahlah dengan dakwaan peribadi tentang saya dan berharap tidak ada lagi fitnah ditaburkan.
“Kita kempen secara baik dan serangan peribadi ini tidak bagus,” katanya kepada media selepas beramah mesra bersama masyarakat di Kampung Chuang, semalam.
Beberapa pihak mempersoalkan kelayakan pendidikan calon PN itu yang memperoleh Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019 dan dua tahun kemudian mendapat Ijazah Sarjana Eksekutif dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Tambahnya, Khairul menganggap pertikaian kesahihan taraf akademiknya selesai selepas dapat pengesahan daripada UMPSA Advance.
Sementara itu, Khairul berkata, dalam dua hari berkempen, sambutan masyarakat Cina amat memberangsangkan dan senang dengan kehadiran beliau di kawasan sekitar Kuala Kubu Baharu.
“Ia amat baik, setakat ini selama kita bertemu dengan pengundi cina mereka ada jabat tangan dengan saya.
“Ia bagus dan tidak ada masalah,” katanya. – UTUSAN










