PETALING JAYA : Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan, beliau terus kekal dengan prinsip terus memboikot kedai serbaneka, KK Mart yang dikaitkan dengan isu stoking kalimah Allah.
Menurut ADUN Merlimau itu, beliau sebagai seorang pemimpin perlu membawa suara rakyat tanpa rasa gentar.
“Rakyat sudah membuat keputusan mereka tanpa sebarang paksaan. Kekal tenang dan teruskan boikot secara aman. Kekal berprinsip,” tulis beliau menerusi satu hantaran Facebook hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO sudah mengarahkan Dr Muhamad Akmal untuk menghentikan isu stoking kalimah Allah yang dikaitkan dengan KK Mart.
Ahli MT UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata, tidak timbul soal bersetuju atau tidak dengan tindakan dr Muhammad Akmal menekan KK Mart dalam isu itu, memandangkan keputusan sudah dibuat UMNO yang mahu perkara itu dihentikan.
Malah, katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri meminta perkara itu dihentikan dan tidak lagi dijadikan isu. – UTUSAN










