Kawalan ketat sempadan Kedah elak suspek tembak lolos - Utusan Malaysia

Kawalan ketat sempadan Kedah elak suspek tembak lolos

FISOL Salleh (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Kuala Muda antara Zaidy Che Hassan (kiri) dan Wan Azharuddin Wan Ismail di IPD Kuala Muda, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis Kedah turut memperketatkan kawalan di pintu sempadan Malaysia-Thailand bagi mengelak suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lolos ke negara jiran.

Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, semua elemen keselamatan di sempadan termasuk polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia sepanjang masa.

“Selain memberi fokus kepada dua daerah yang terletak di sempadan iaitu Kubang Pasu dan Padang Terap, kita turut menggerakkan Cawangan Khas untuk segera menyalurkan maklumat lengkap berkaitan suspek.

“Begitu juga di setiap daerah, kita meminta Ketua Polis Daerah lebih ‘alert’ tentang suspek kes tembakan itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Muda di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes tembak di KLIA awal pagi semalam susulan kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang memaklumkan suspek dipercayai melarikan diri ke arah utara.

Terdahulu, Fisol menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Muda antara Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail yang menggantikan Senior Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan.

Zaidy dinaikkan pangkat ke Bukit Aman untuk menjalankan tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (Persenjataan) Bahagian Teknikal/Operasi, Jabatan Logistik dan Teknologi manakala Wan Azharuddin sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi Kedah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×