Kami berdua bukan di bawah siasatan SPRM- Mirzan, Mokhzani

Kami berdua bukan di bawah siasatan SPRM- Mirzan, Mokhzani

MOKHZANI MAHATHIR (kiri) dan MIRZAN MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan mereka bukan di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi kenyataan bersama semalam, Mirzan dan Mokhzani berkata, mereka ingin membuktikan kekayaan yang dimiliki melalui saluran yang betul.

“Kami ingin memaklumkan bahawa kami berdua bukan di bawah siasatan SPRM, tidak seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.

“Perintah notis yang diberikan kepada kami adalah sebagai ‘anak’ kepada seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” kata mereka.

Katanya, mereka memahami bahawa keseluruhan siasatan bagi menentukan sekiranya bapa (Dr. Mahathir) menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri untuk memperkayakan kami (Mirzan dan Mokhzani).

Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Dr. Mahathir antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.

Azam berkata, notis pengisytiharan harta ke atas Mirzan dan Mokhzani berkaitan dengan siasatan itu, tetapi tidak menjelaskan dengan lebih terperinci.

Dalam pada itu, mereka turut menghargai lanjutan masa oleh SPRM ke atas notis yang diserahkan kepada mereka Januari lalu.

Kata mereka lagi, memandangkan pengisytiharan harta yang perlu dilakukan meliputi tempoh 43 tahun dengan kurangnya rekod maklumat selama tempoh itu, mereka berharap SPRM dapat menentukan tempoh masa yang paling penting untuk siasatan mereka.

Sementara itu, Dr. Mahathir menyifatkan tindakan SPRM membuat siasatan ke atasnya sebagai dendam semata-mata.

Beliau mendakwa, tindakan diambil sekarang bukan bersandarkan kepada undang-undang, namun sebagai pemimpin yang tiada lagi kuasa, beliau harus akur apabila siasatan dijalankan ke atasnya.

“Kalau dia nak panggil, saya okey. Kalau dia nak soal, saya jawab, kalau nak saya masuk penjara, saya masuk penjara, saya tidak ada kuasa.

“Kita bukan ikut undang-undang, kita ikut nak balas dendam, pasal dulu kita bagi orang ini masuk penjara. Sekarang dia nak masukkan saya dalam penjara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN