Kalimah Allah: Polis Kedah rampas 83 pasang kasut  - Utusan Malaysia

Kalimah Allah: Polis Kedah rampas 83 pasang kasut 

FISOL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah merampas 83 pasang kasut yang didakwa mempunyai tulisan mirip kalimah Allah di sebuah pasar raya, di sini semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, rampasan itu susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita berusia 50 tahun di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada hari yang sama.

“Kita menerima satu laporan daripada seorang wanita dan petang semalam juga kita sudah ambil tindakan.

“Kita tidak mahu berkompromi kerana kita tahu isu ini adalah isu sensitif dan kita laksanakan secara perundangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah Fisol, polis Kedah turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau mengambil sebarang tindakan berhubung kontroversi berkenaan yang dikhuatiri menganggu ketenteraman awam.

“Isu ini sangat sensitif jadi semua pihak harus memainkan peranan. Polis akan bertindak mengikut undang-undang,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan menerima lapan laporan iaitu dua di Johor, dua di Pahang dan dua di Terengganu manakala masing-masing satu laporan di Pulau Pinang serta Kedah berhubung perkara itu.

Razarudin berkata, polis membuka kertas siasatan berhubung logo kasut keluaran sebuah syarikat tempatan yang didakwa seakan-akan mirip kalimah Allah.

Ia susulan tular foto kasut yang memaparkan logo berkenaan sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, syarikat pengeluar jenama kasut tempatan, Vern’s akan dipanggil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memberi penjelasan tentang perkara itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN