Kaligrafi Tionghoa himpun 3,000 simpulan bahasa diiktiraf MBOR

Kaligrafi Tionghoa himpun 3,000 simpulan bahasa diiktiraf MBOR

CHOO Xuan Ping menunjukkan sijil pengiktirafan yang diterima daripada MBOR kerana berjaya menghasilkan penulisan kaligrafi Tionghoa sepanjang 2.68 km dengan menghimpunkan lebih 3,000 simpulan bahasa di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kira-kira 1,000 penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) termasuk sekumpulan wakil pelajar sekolah menengah di negeri ini ‘bersatu hati’ untuk menghasilkan penulisan kaligrafi Tionghoa sepanjang 2.68 kilometer (km).

Lebih unik, tulisan kaligrafi yang menghimpunkan lebih 3,000 simpulan bahasa itu berjaya disiapkan dalam tempoh tiga hari sahaja.

Rekod dan kejayaan tersebut sekali gus melayakkan ia untuk mendapat pengiktirafan di dalam Malaysia Book Of Records (MBOR), semalam.

Menurut pengarah projek, Choo Xuan Ping, penganjuran aktiviti bertemakan ‘Prelude: Naga’s Quill’ itu mencatatkan penyertaan daripada pelbagai peringkat umur, status sosial, kaum dan etnik termasuk Cina, Melayu, India, Iban dan Kadazan.

“Menerusi projek ini, setiap orang akan datang untuk menulis atas kertas kaligrafi yang diimport dari China iaitu sekurang-kurangnya empat patah perkataan simpulan bahasa yang membawa maksud baik dan positif.

“Kini, dianggarkan terdapat lebih daripada 3,000 patah simpulan bahasa dalam satu gulung kertas kaligrafi sepanjang 2.68km itu yang berjaya dihasilkan,” katanya kepada pemberita pada majlis pengiktirafan MBOR itu yang diadakan di Perpustakaan Hamzah Sendut 1, USM di sini, petang semalam.

Sijil pengiktirafan MBOR itu diserahkan oleh wakil MBOR merangkap Penolong Pengurus Pemasaran, Jeska Cheah kepada Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.

Mengulas lanjut, Xuan Ping berkata, dia mewakili semua yang terlibat dalam menjayakan projek itu berpuas hati kerana berjaya mengatasi pelbagai cabaran sepanjang menyiapkan penulisan kaligrafi berkenaan.

“Kami berharap agar kejayaan ini dapat memartabatkan bangsa Malaysia yang berpegang pada prinsip inklusif, kesederhanaan supaya dapat membina negara bangsa yang progresif dan diversiti dapat direalisasi,” ujarnya.

Difahamkan, USM merupakan satu-satunya universiti yang berjaya menerima sijil pengiktirafan MBOR untuk rekod yang berjaya dihasilkan itu setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN