Kakak tegur Safee Sali jangan putar belit - Utusan Malaysia

Kakak tegur Safee Sali jangan putar belit

Safee Sali
NORMALAYATI Mohd. Sali ketika ditemui pemberita di lobi pekarangan luar Mahkamah Tinggi Syariah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali digesa untuk bersikap jujur dan tidak berbohong serta menabur fitnah terhadap Fitria Elfina Maharip berhubung hak penjagaan dua anak mereka.

Kakak kepada bekas penyerang Harimau Malaya itu, Normalayati, 53 berkata, dia dan adik beradiknya yang lain kesal dengan sikap Safee Sali atau nama sebenarnya Mohd. Safee Mohd. Sali, 40, kerap kali memutar belit fakta.

Menurutnya, adiknya cuba menuduh bekas isteri sendiri yang berusia 40 tahun itu enggan membenarkan Safee Sali bertemu dengan dua anaknya, Shanika Salsabilah, 9, dan Shania Safina, 7, sebelum ini.

“Adik-beradik tidak bersetuju dengan tindakan dia termasuk bernikah secara senyap serta mengambil dua anaknya sebelum ini.

“Saya lihat sendiri bukti dan jangan tuduh dan fitnah (bekas) isteri. Kau (Safee Sali) yang pusing fakta dan bohong. Saya cuma nak cakap supaya dia betulkan apa yang salah.

“Fitria paling tepat jaga anak sebab Safee terlalu sibuk. Semoga kemenangan kepada Fitria,” katanya ketika ditemui pemberita pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini. 

Normalayati yang merupakan anak ketiga daripada 12 beradik itu sebelum ini hadir ke Mahkamah Syariah bagi menemani bekas adik iparnya Fitria Elfina menghadiri prosiding sebutan kali pertama hadhanah interim dan laporan notis permohonan.

Peguam, Syarie Fauzan Ziman yang mewakili Fitria Elfina memberitahu pemohon dalam kes interim tersebut adalah Safee Sali dan bekas isterinya sebagai responden.

“Peringkat hari ini, kita maklumkan notis permohonan itu dan tarikh sebutan pada 5 Ogos depan akan digunakan bagi memasukkan jawapan pada permohonan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Normalayati menambah, adiknya yang merupakan anak ke lapan itu memberitahu sudah berulang kali memujuk Safee Sali berkenaan tuntutan hadhanah dan isu kedudukan kedua-dua anaknya yang terpisah dengan ibu mereka sendiri.

Bagaimanapun, pujukan tersebut tidak diendahkan, malah sebaliknya menuduh dia menyokong Fitria. 

“Saya tidak sokong sesiapa, cuma saya nampak apa yang salah itu perlu diperbetulkan. Adik saya sebetulnya bukan sebegini. Ini bukan dia,” tegasnya.

Selain itu, dia turut menjelaskan konflik termasuk penceraian yang menimpa Fitria tiada kena mengena dengan karma memandangkan wanita itu adalah isteri kedua dinikahi Safee Sali pada 21 Disember 2013.

Sebelum ini, Safee Sali mendirikan rumah tangga dengan Sabarina Yusoff pada tahun 2007 sebelum bercerai pada tahun 2012.  

“Sebenarnya tiada urusan karma pun, cuma tutup karma itu sebab dia bukan salah pun. Kisah lama jangan buka nanti akan malu semua pihak.

“Cuma saya hendak cakap Fitria bukan penyebab karma, bukan penyondol dan bukan penyebab rumah tangga itu roboh. Ada di sebaik cerita, cukup saya katakan biarlah berahsia,” ujarnya.

Sementara itu, Fitria turut menyatakan tidak mengambil kisah pandangan atau percakapan orang lain terhadapnya berhubung andaian karma kehidupannya itu.

“Itu saya tidak mahu komen, biar apa cakap apa sahaja kepada saya. Itu urusan dia dengan Allah. Saya berharap dapat berjumpa dan beraya bersama anak-anak saya yang sudah dua bulan tidak jumpa ini” jelasnya.

Jelasnya, dia juga tidak mempunyai sebarang akses atau peluang untuk berhubung dengan anaknya walaupun pelbagai usaha telah dilakukan sebelum ini.

“Kalau boleh, saya mahu dapat hak penjagaan interim dan kekal anak-anak” luahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN