GEORGE TOWN : Sebanyak 96 peratus nelayan yang layak daripada sembilan unit nelayan di kawasan Selatan Pulau Pinang telah mendaftarkan diri untuk menyertai skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang berakhir pada 31 Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, daripada jumlah yang berdaftar itu, seramai 100 nelayan telah menerima bayaran ‘ex-gratia’ sepenuhnya, manakala 457 lagi nelayan telah menerima kira-kira 75 peratus daripada jumlah bayaran ‘ex-gratia’ yang ditawarkan kepada mereka.
“Kami akan terus memproses baki permohonan secara berfasa dan dijangka, kesemua nelayan berdaftar akan dibayar sehingga 100 peratus ‘ex-gratia’ menjelang pertengahan tahun ini.
“Selain itu, kami juga akan melaksanakan inisiatif lain seperti yang dijanjikan dalam SIMP termasuk bantuan yang lebih besar termasuk enjin (bot) berkuasa tinggi, latihan untuk meningkatan kemahiran, peluang pekerjaan, perniagaan serta bantuan pendidikan kepada anak-anak mereka,” katanya di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Farizan memberitahu, sempena musim perayaan ini, Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) juga telah menyampaikan sebanyak 30 hamper perayaan kepada nelayan dari unit Permatang Tepi Laut dan Sungai Batu.
Tambahnya, adalah menjadi tradisi tahunan PPSN untuk menyemarakkan perayaan dan menyebarkan kegembiraan dalam kalangan masyarakat sempena sambutan hari raya.
“Kerja-kerja penambakan Pulau Silikon sedang giat dijalankan. Jadi, sementara pembangunan diteruskan, kita mahu memastikan bahawa mata pencarian dan kesejahteraan masyarakat setempat, khususnya rakan nelayan, juga dalam keadaan baik.
“Adalah sentiasa menjadi objektif utama kerajaan negeri dalam mengutamakan keperluan masyarakat tempatan dan mengintegrasikan perspektif mereka ke dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan.
“Sebab itulah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) adalah sebahagian daripada syarat kelulusan bagi memastikan kebajikan nelayan dan ekosistem marin terpelihara dengan baik,” katanya.-UTUSAN










