KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Ketua Polis Negara (KPN), Allahyarham Tun Hanif Omar di Masjid Negara di sini hari ini.
Allahyarham Tun Hanif selesai disembahyangkan pada pukul 1.30 petang, sebentar tadi.
Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara untuk dikebumikan dan bukan di Makam Pahlawan di sini atas permintaan keluarga.
Turut kelihatan beberapa bekas Ketua Polis Negara turut hadir memberikan penghormatan antaranya Tan Sri Ismail Omar, Tan Sri Musa Hassan, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Mazlan Mansor dan Tan Sri Bakri Zinin.
Terdahulu, van membawa jenazah allahyarham dari kediamannya dekat Laman Seri, Shah Alam tiba di Masjid Negara, di sini pada pukul 11.05 pagi
Kemudian sekitar pukul 11.10 pagi jenazah Allahyarham dibawa masuk ke Masjid Negara untuk dimandi dan dikhafankan.
Allahyarham Tun Mohammed Hanif, 85, adalah KPN Ke-4 dan pernah memegang jawatan itu selama 20 tahun iaitu dari tahun 1974 sebelum bersara pada 16 Januari 1994.
Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pada pada pukul 2.15 pagi tadi.- UTUSAN










