Jenazah semua mangsa helikopter terhempas dibawa keluar dari HRPB - Utusan Malaysia

Jenazah semua mangsa helikopter terhempas dibawa keluar dari HRPB

VAN membawa jenazah mangsa nahas helikoper keluar dari Jabatan Forensik HRPB untuk disolatkan di Surau Salahuddin Al Ayubi di Batalion ke-23 RAMD di Tambun, Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jenazah mangsa nahas dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut semalam, mula dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), sebentar tadi.

Jenazah pegawai dan anggota TLDM itu dibawa keluar satu persatu pada pukul 4.35 petang tadi selepas proses bedah siasat selesai pada pukul 2.20 petang.

Lapan daripada 10 jenazah beragama Islam itu kemudiannya dibawa ke Surau Salahuddin Al Ayubi di Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Tambun untuk solat jenazah.

Setelah selesai, kenderaan membawa setiap jenazah digerakkan ke lokasi seterusnya untuk proses pengebumian.

Sementara itu, mayat mendiang Leftenan T. Sivasutan akan dibawa ke kediamannya di Sitiawan manakala Laskar Kanan Joanna Felicia Anak Rohna pula dibawa ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini untuk diterbangkan ke Serian, Sarawak.

Penerbangan dijangka pada pukul 6 petang itu menggunakan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kesemua jenazah dan mayat mendiang akan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di lokasi pengebumian mengikut permintaan keluarga masing-masing.

Terdahulu, beberapa kenderaan membawa orang kenamaan tiba di Jabatan Forensik HRPB bagi memberi penghormatan terakhir kepada wira negara yang terkorban dalam nahas tersebut.

Antara yang hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Dalam pada itu, sebahagian ahli keluarga mangsa terlebih dahulu meninggalkan pekarangan Jabatan Forensik dan menuju ke Kem 23 RAMD untuk solat jenazah.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.30 pagi semalam, 10 pegawai dan anggota TLDM terkorban selepas dua helikopter dinaiki mereka bertembung ketika menjalani raptai sambutan Hari Ulang Tahun dan Perbarisan TLDM ke-90 di Lumut.

Insiden tersebut melibatkan tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM dengan semua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN