IPOH: Lapan jenazah mangsa yang beragama Islam dalam tragedi helikopter terhempas di Lumut semalam akan disolatkan di masjid Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini.
Difahamkan, jenazah akan dibawa ke masjid di kem di Jalan Tambun itu untuk disolatkan dan pelaksanaan istiadat rasmi selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
Setelah itu, jenazah akan dibawa ke destinasi seperti yang dimohon oleh keluarga mangsa masing-masing.
Sementara itu, mayat mendiang Leftenan T. Sivasutan akan dibawa ke Sitiawan manakala mayat mendiang Laskar Kelas I Joanna Felicia anak Rohna akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak.
Proses bedah siasat terhadap kesemua 10 mangsa tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut semalam dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Proses bedah siasat sedang dijalankan dan dijangka selesai tengah hari ini. – UTUSAN










