KULAI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan terdapat sekurang-kurangnya tiga buah kilang pemprosesan tayar terpakai beroperasi secara mencurigakan tanpa mengikut prosedur pengoperasian di daerah ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarahnya, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, pihaknya akan membuat semakan dan pemantauan bagi mengesahkan laporan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui pihaknya tidak menerima sebarang laporan sebelum ini tentang operasi kilang berkenaan.
“Setakat ini kita tidak dapat apa-apa maklumat mengenai dakwaan laporan tersebut. Justeru, kita akan menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat terperinci.
“JAS Negeri Johor akan menghantar pasukan ke lokasi yang dimaksudkan untuk semak kebenaran laporan itu terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia menyiarkan laporan tentang kewujudan kilang-kilang pemprosesan tayar terpakai yang didapati beroperasi secara mencurigakan, Februari lalu.
Berdasarkan siasatan kira-kira tiga bulan lalu ke atas ketiga-tiga kilang itu, ia didapati beroperasi secara bersembunyi bagi mengaburi mata pihak berkuasa apabila kawasan kilang tanpa nama ini bertutup dan berkunci dikelilingi zink, jika dilihat dari luar.
Semakan mendapati, kebanyakan kilang industri itu beroperasi tanpa lesen atau menggunakan lesen yang berbeza dengan operasi sebenar memandangkan banyak prosedur dan peraturan yang perlu dipatuhi.
Tinjauan dari udara menggunakan dron ke atas salah sebuah kilang tanpa nama pada 22 Februari lalu di kawasan perindustrian Kulai mendapati longgokan ribuan tayar terpakai dilihat bersepah di tempat terbuka tanpa berbumbung yang mengakibatkan takungan air ketika hujan.
Keadaan persekitaran didapati kotor, berdekatan dengan dua lagi kilang lain, tidak kelihatan penggunaan sistem ‘boiler’ untuk pembakaran dan sistem kawalan pencemaran udara seperti disyaratkan JAS dan JKKP. – UTUSAN










