Insiden Sungai Gong: Dua beranak kekal lepas, bebas tuduhan

Insiden Sungai Gong: Dua beranak kekal lepas, bebas tuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua beranak kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada dua pertuduhan melakukan khianat dengan melepaskan dan melupuskan bahan buangan tanpa lesen ke Sungai Gong, Rawang, empat tahun lalu.

Hakim Hasbullah Adam me­ngekalkan keputusan Mah­ka­mah Sesyen Selayang pada 22 Mei 2023 terhadap Chai Kin Sang, 66, dan anak lelakinya, Chai Wern Teik, 35, selepas menolak rayuan pendakwa raya.

Beliau bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen baha­wa pihak pendakwaan gagal mem­buktikan bahawa bahan ber­bahaya tersebut mengalir da­ripada premis FG Autoparts Sdn. Bhd. melalui alur air dan mema­suki Sungai Gong.

Mahkamah turut berpuas hati bahawa terdapat keraguan yang ketara terhadap sampel-sampel yang diambil dalam siasatan kes untuk membuktikan kandungan bahan berbahaya yang berpunca daripada premis FG Autoparts.

Hakim Hasbullah turut berpendapat, surat daripada Majlis Perbandaran Selayang bertarikh 3 November 2020 menyatakan bahawa tiada rekod berkaitan pelan peta ali­ran longkang atau salur air dari premis kejadian ke Sungai Gong.

Sehubungan itu, beliau memutuskan tiada alasan yang bermerit untuk mengganggu gugat dapatan dan keputusan hakim berkenaan yang mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap dua beranak itu.

“Rayuan pendakwa raya ditolak, perintah pelepasan dan pembebasan dikekalkan,” demikian menurut penghakiman bertulis mahkamah bertarikh kelmarin yang diperoleh pihak media me­lalui laman web mah­kamah semalam. Rayuan di­de­ngar dan di­putuskan 9 November 2023.

Hakim Mahkamah Sesyen Osman Affendi Mohd. Salleh mendapati tiada keterangan yang bo­leh dipercayai yang menunjukkan kedua-dua tertuduh te­lah melupuskan atau membuang apa-apa bahan berbahaya ke dalam alur air yang mengalir ke Sungai Gong.

“Maka mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh tidak bersalah mengakibatkan pencemaran Sungai Gong pada Oktober 2020,” kata hakim itu.

Sebelum ini media melapor­kan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas berikutan insiden pencemaran minyak sehingga menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh di­dak­wa dengan niat bersama melakukan khianat dengan menyebabkan pe­­lupusan bu­angan yang me­ngandungi ba­han berbahaya dari FG Auto­parts.

Bahan berbahaya itu didakwa dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong, Rawang dengan mengetahui ia mungkin akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia.

Pertuduhan kedua pula, mereka didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan buangan me­ngandungi bahan berbahaya dari premis sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai serupa tanpa lesen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN