KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil memohon diberikan kebenaran untuk membuat permohonan maaf terbuka dan tanpa syarat berhubung tindakannya yang dikatakan telah menghina mahkamah membabitkan prosiding perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, permohonan tersebut dinyatakan dalam surat representasi yang dihantar melalui emel ke Jabatan Peguam Negara pada 25 Mac lalu.
Bagaimanapun, ujar Ahmad Akram, beliau perlu mendapatkan arahan daripada Peguam Negara berhubung representasi dan memohon agar diberikan satu tarikh pengurusan kes.
Perkara itu disahkan oleh peguam, Jamie Wong Siew Min yang mewakili Isham atau nama penuhnya, Hizatul Isham Abdul Jalil.
Pada 6 Januari lalu, Isham dalam satu kenyataan di akaun Facebook miliknya menyatakan akan melawan permohonan menghina mahkamah tersebut.
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.
Perkara itu dimaklumkan pada pengurusan kes tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin di sini hari ini yang kemudian menetapkan 10 Jun ini untuk mengetahui status representasi terbabit.
Pada 28 Disember 2023, pendakwaan memfailkan permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) memohon Isham dipenjara atau didendan kerana menghina mahkamah susulan kenyataannya dalam satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?”.
Selain memohon Isham dikenakan hukuman penjara atau denda, Peguam Negara turut memohon perintah-perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan kos yang akan ditaksirkan kemudian.
Menurut afidavit yang difailkan, Isham didakwa telah mengeluarkan beberapa kenyataan mempersoalkan proses perbicaraan dan rayuan membabitkan Najib dalam kes SRC International dan 1MDB.
Berhubung kes 1MDB, Isham didakwa telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan secara tersurat atau tersirat yang membawa maksud Hakim Sequerah telah bertindak berat sebelah apabila tidak menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes itu.
Berhubung kes SRC International, Isham dalam temu bual sama antara lain telah mempertikaikan proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dan menggambarkan panel hakim yang mendengar telah menghakimi rayuan itu dengan tidak adil.
Rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan didengar oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang turut bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Menurut afidavit itu, kenyataan-kenyataan yang dibuat Isham pada temu bual itu mengandungi risiko nyata yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas badan kehakiman dan boleh dianggap sebagai gangguan ke atas pentadbiran keadilan. –UTUSAN










