PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengajak seluruh umat Islam di negara ini untuk sama-sama menghayati pengajaran bermakna daripada ayat-ayat suci al-Quran, sempena 10 hari terakhir di bulan Ramadan ini.
Titah Seri Paduka, ia adalah kerana kestabilan dan keharmonian sedia terjalin akan musnah sekiranya umat Islam gagal memelihara nilai-nilai yang dibawa oleh agama.
“Kegagalan ini akan menyebabkan konflik yang akhirnya membawa krisis kemanusiaan,” titah Sultan Ibrahim dalam hantaran melalui laman media sosial rasmi baginda, hari ini.
Sultan Ibrahim sekali gus meminta umat Islam menjadikan al-Quran panduan dalam hidup masyarakat berbilang bangsa serta agama, supaya saling menghormati dan tidak bersangka buruk terhadap orang lain.
“Semoga negara kita sentiasa terpelihara dan terlindung daripada anasir-anasir melampau yang menggugat kesejahteraan sejagat,” titah Seri Paduka.
Dalam hantaran tersebut, Yang di-Pertuan Agong turut berkongsikan potongan ayat Al-Quran iaitu Surah Al-An’am, Surah Al-Maidah dan Surah Al-Hujurat. –UTUSAN










