PETALING JAYA: Pistol Glock 19 Austria yang digunakan Hafizul Harawi dalam cubaan membunuh isterinya di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipercayai dibeli daripada lelaki Thailand dengan harga RM5,000.
Siasatan awal polis mendapati, Hafizul, 38, menghubungi lelaki Thailand berkenaan melalui seorang kenalannya kira-kira dua atau tiga minggu sebelum kejadian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, senjata api berharga RM5,000 itu kemudian diambil Hafizul yang berjumpa dengan lelaki tersebut.
“Polis masih dalam proses untuk mengesahkan senjata tersebut diperoleh di Kelantan atau di sebelah Thailand,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut beliau, dua daripada empat kad pengenalan yang dimiliki Hafizul dipercayai milik orang awam, selain masing-masing sekeping kad pengenalan tentera dan lesen memandu.
“Kita masih menyiasat bagaimana kesemua kad pengenalan dan lesen itu diperoleh suspek,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan polis sedang mengumpul maklumat bagi mengenal pasti bagaimana lelaki yang melepaskan tembakan di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu memperoleh senjata api.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, setakat ini polis sudah merakam keterangan 15 saksi termasuk isteri Hafizul dan pengawal peribadi yang tidak cedera.
Selain itu, keterangan juga diambil daripada anggota polis, petugas keselamatan lapangan terbang, saksi awam yang terkena mercun, doktor yang merawat pengawal keselamatan, ahli keluarga dan pekerja syarikat isteri suspek.
Hafizul kini direman tujuh hari mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Dalam insiden kira-kira pukul 1.20 pagi Ahad lalu, Hafizul didakwa melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di balai ketibaan antarabangsa KLIA Terminal 1.
Bagaimanapun, tembakan itu terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi isteri suspek. – UTUSAN









