Hafizul rancang bekerja di Arab Saudi - KP Selangor

Hafizul rancang bekerja di Arab Saudi – KP Selangor

Monsun Timur Laut
HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hafizul Harawi, 38, yang melepaskan tembakan Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada 13 April lalu dipercayai merancang untuk bekerja di Arab Saudi. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek lelaki itu ditahan ketika ingin mengambil laporan pemeriksaan kesihatan yang dibuat seminggu sebelum di Hospital Pakar Perdana, Kelantan.

Katanya, pihak polis akan mendapatkan perintah  untuk menyambung reman suspek yang akan tamat Isnin ini. 

“Kita akan sambung reman suspek selama tujuh hari untuk melengkapkan kertas siasatan untuk dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya. 

“Mungkin suspek akan didakwa dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Negara di sini hari ini. 

Terdahulu, Hussein hadir bagi memberi penghormatan kepada bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada pukul 2.15 pagi tadi. 

Menurut Hussein, pihaknya setakat ini telah merakam keterangan seramai 27 individu bagi membantu siasatan kes tersebut. 

“Ia termasuk isteri suspek dan saksi-saksi lain.

“Motif utama masih sama iaitu disebabkan hal peribadi,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Pistol Glock 19 Austria yang digunakan suspek dalam cubaan membunuh isterinya dipercayai dibeli daripada lelaki Thailand dengan harga RM5,000.

Hussein dilaporkan berkata, siasatan awal polis mendapati, suspek menghubungi lelaki Thailand berkenaan melalui seorang kenalannya kira-kira dua atau tiga minggu sebelum kejadian.

Dalam insiden kira-kira pukul 1.20 pagi pada Sabtu lalu, Hafizul didakwa melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di balai ketibaan antarabangsa Terminal 1 KLIA.

Bagaimanapun, tembakan itu terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi isteri suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN