Habeas corpus: Pemimpin pembangkang Bangladesh kemuka keterangan pakar

Habeas corpus: Pemimpin pembangkang Bangladesh kemuka keterangan pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin pembangkang Bangladesh akan mengemukakan keterangan saksi pakar dari negara itu bagi menyokong permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi di sini agar beliau dibebaskan daripada penahanan salah.

Permohonan habeas corpus itu difailkan oleh M. A. Quayum, 61, yang juga pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) ekoran penahannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 12 Januari lalu.

Peguam Kee Shu Min yang mewakili pemohon memaklumkan, keterangan saksi berkenaan yang juga seorang peguam akan diikrarkan melalui afidavit dalam tempoh tiga minggu.

“Buat masa ini, pemohon dan seorang saksi pakar mengikrarkan afidavit dan jika perlu kami akan memasukkan afidavit pihak-pihak lain yang berkaitan,” ujar Shu Min.

Hakim K. Muniandy kemudian menetapkan 3 Julai ini bagi pendengaran permohonan tersebut dan pihak-pihak memfailkan penghujahan bertulis sebelum 31 Mei ini.

Beliau menangguhkan pendengaran yang sepatutnya ditetapkan hari ini selepas peguam pemohon memaklumkan mereka memerlukan masa untuk menjawab afidavit balasan pihak responden yang dikemukakan pada 22 Mac lalu.

“Kami perlu menjawab ketiga-tiga afidavit balasan yang difailkan kerana terdapat isu baharu yang dibangkitkan,” ujar peguam itu.

Sementara itu, Peguam Persekutuan Nursyahidah Mohd. Kamil memaklumkan pihaknya turut memerlukan masa untuk membalasnya jika terdapat isu lain yang dikemukakan.

Pada prosiding itu, Shu Min menarik perhatian mahkamah bahawa anak guamnya kini dibebaskan melalui pas khas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen sementara menunggu pendengaran habeas corpus.

Ujar beliau, pas itu diperbaharui setiap bulan dan akan tamat tempoh, esok.

Sehubungan itu, peguam tersebut memohon mahkamah mengeluarkan notis perbicaraan bagi memudahkan urusan pembaharuan pas khas di Imigresen. Permohonan itu dibenarkan.

Dalam pada itu, Shu Min turut meluahkan kebimbangan terhadap notis penghantaran pulang yang masih sah terhadap Quayum meskipun anak guamnya telah memperolehi perintah penggantungan terhadap notis itu pada 18 Januari lalu.

Bagaimanapun, Nursyahidah memaklumkan perintah penggantungan itu masih sah dan pemohon tidak akan dihantar pulang sehingga habeas corpusnya diputuskan.

Pada 31 Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan Quayum tidak akan dihantar pulang selepas Mahkamah Tinggi merekodkan persetujuan Imigresen melalui akujanji untuk tidak mengusirnya.

Dalam permohonan habeas corpus, Quayum menamakan Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga keempat.

Menerusi afidavit sokongan anak perempuannya, Quayum mendakwa, penahanan itu bertujuan untuk menghantar bapanya pulang secara paksa ke Bangladesh dengan segera dan ia satu operasi yang dibuat secara rahsia tanpa mengikut undang-undang.

Anak pemohon mendakwa keselamatan bapanya akan terancam dan akan menghadapi penganiayaan politik sekiranya dihantar pulang ke negara itu.

Quayum yang juga pemegang visa Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), dikehendaki di negaranya selepas dituduh membunuh pekerja bantuan Itali, Cesare Tavella, 50, yang ditembak mati penyerang bermotosikal pada September 2015 ketika berjoging di kawasan diplomatik Dhaka. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN