Guna teknologi AI, dron dan CCTV lebih canggih di sempadan negara -Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Guna teknologi AI, dron dan CCTV lebih canggih di sempadan negara -Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada majlis penyampaian sumbangan kuih raya di Stesen Kawalan Sempadan (SKS) Wang Kelian semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kawalan sempadan negara sudah tiba masannya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), dron dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih canggih di lokasi strategik di kawasan sempadan itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah itu sebagaimana dilaksanakan negara maju dalam usaha memperkasakan penugasan mengawal sempadan negara ini supaya tidak mudah dibolosi.

“Untuk menangani ancaman dan jenayah rentas sempadan ini, satu dasar holistik perlu terus dibentuk khususnya antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Ia termasuklah keperluan dalam menjalin kerjasama strategik dengan negara jiran, khususnya bagi kita di sini iaitu Thailand,” titah baginda pada majlis penyampaian sumbangan kuih raya di Stesen Kawalan Sempadan (SKS) Wang Kelian di sini, semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis penyampaian sumbangan kuih raya itu anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis itu menyampaikan kuih raya kepada pegawai dan anggota keselamatan yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri di sempadan Malaysia-Thailand.

Sementara itu, baginda berharap anggota keselamatan di sempadan sentiasa peka dan waspada terutamanya pada bulan Ramadan dan Aidilfitri ini dalam memastikan sempadan negara tidak dicemari kejadian penyeludupan barang dan manusia.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas pengorbanan dan komitmen terhadap tugas yang ditunjukkan oleh seluruh warga keselamatan, khususnya di sempadan Malaysia-Thailand ini.

“Sesungguhnya, bakti mereka ini adalah demi memastikan keamanan dan keharmonian yang dikecapi pada hari ini terus berkekalan. Insya-Allah,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan peruntukan tambahan RM14 juta bagi projek pembangunan semula Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian semasa lawatan Perdana Menteri ke negeri itu Isnin lepas.

“Projek ini pasti akan memberi impak positif kepada landskap pembangunan sempadan secara keseluruhannya terutamanya di Wang Kelian ini,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya