JIKA anda mengikuti ulasan filem saya di ruangan ini, anda mungkin maklum bahawa saya merupakan antara peminat naskhah air tangan pengarah muda, Syafiq Yusof.
Baru-baru ini saya ke panggung selepas dimaklumkan filem terbaharunya, Sheriff: Narko Integriti sudah bersedia bertemu penonton.
Mungkin kuah tumpah ke nasi, Syafiq dilihat akrab menukang karya dengan genre aksi dan kepolisan sama seperti bapanya.

Namun Syafiq bukan Yusof Haslam. Dia harus membangun daya kreatifnya sendiri.
Maka Sheriff mungkin adalah sebuah pembuktian bahawa naskhahnya akan selalu hadir dengan tingkat prestasi lebih cemerlang berbanding filem-filemnya sebelum ini.
Sheriff menampilkan sisi gelap, juga sebuah kritik kepada salah laku pegawai polis. Ia lahir ketika reputasi institusi kepolisan negara calar balar dengan pelbagai cerita kurang enak didedahkan warganet daripada kes cabul, gangguan seksual, rasuah, sehinggalah tuduhan pembunuhan melibatkan anggota polis.
Filem Sheriff mendedahkan awal-awal siapakah musuh utama dalam cerita ini iaitu Meth Killer lakonan Syafiq Kyle.

Seorang pembunuh yang juga merupakan anggota polis. Tiada yang salah dengan teknik ini cuma ia berdepan dengan risiko jalan cerita akan jadi layu dan membosankan jika tidak disampaikan dengan baik.
Namun, persembahan plot dan jalan cerita Sheriff mengejutkan saya. Syafiq dan pasukannya berjaya mengikat penonton dari babak ke babak dengan hidangan plot thicken yang semakin kompleks, menarik dan kemas memasuki act 2.
Mungkin babak yang paling mengesankan dan genius buat saya ketika Meth Killer dipaksa menyoal siasat teman baiknya sendiri.
Memandangkan teman baiknya adalah bekas askar, beberapa komunikasi digunakan menerusi kod morse.










