SEREMBAN: Empat kali diserang angin ahmar dengan kali terakhir pada tahun lalu menjadi ujian cukup hebat dihadapi penyanyi popular pada era-90-an, Shaharim Sallehudin, 59, atau lebih dikenali sebagai Sheqal.
Namun, Sheqal kini reda dan bertawakal untuk menghadapi ujian itu meskipun pergerakannya terbatas dengan hanya berkerusi roda.
Katanya, dia diserang penyakit itu sejak empat tahun lalu sehingga mengalami lumpuh di bahagian kanan badan.
Menurut bapa kepada dua anak hasil perkahwinan dengan Normah Mohd. Yusof itu, dia tidak mengetahui menghidap penyakit darah tinggi.
“Sejak diserang angin ahmar dan atas nasihat doktor, saya menjaga pemakanan. Alhamdulillah walaupun berkerusi roda, kesihatan dari segi pemakanan terjaga.
“Saya memang berpantang dari segi pemakanan, hanya makan sayur tertentu selain bali dijadikan sebagai pengganti nasi di samping air rebusan bali dan buah kulim sebagai minuman harian.
“Jika dulu ketika pertama kali kena serangan angin ahmar saya memang tidak boleh bergerak langsung dan hanya terlantar di katil mengalami masalah ingatan serta tidak boleh bercakap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah sewanya di Taman Tuanku Jaafar di sini.
Sheqal berkata, keadaannya beransur pulih sejak menerima rawatan di Muar, Johor.
“Besarnya keajaiban tuhan, saya sudah boleh bercakap macam biasa tapi masih lagi termengah-mengah,” katanya.
Sheqal dalam pada itu memberitahu, dia turut menghidap penyakit buah pinggang tahap empat selepas doktor mengesahkannya bulan lepas selain beberapa penyakit lain sejak tiga tahun lalu.
“Disebabkan pelbagai penyakit yang dihidapi saya tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan. Saya menanggung dua anak berusia 19 dan 20 tahun yang masih belajar,” katanya
Dia bagaimanapun bersyukur dikurniakan isteri dan keluarga yang banyak membantu dan memahami keadaannya itu.
“Allah juga beri rezeki kawan yang baik, kawan terdiri daripada rakan artis serta persatuan turut memberi sumbangan tanpa disangka-sangka.
“Sekarang saya banyak menulis dan berhasrat membukukan penulisan yang kebanyakannya berkisar mengenai ilmu tasawuf,” katanya lagi.
Bulan lalu, simpati nasib yang menimpa Sheqal , Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberikan sumbangan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi yang berkesempatan menziarahi Sheqal.
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) juga tampil memberikan bantuan secara sekali beri (one-off).
Mana-mana pihak lain yang turut mahu membantu dan memberikan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 1411941000043964 atas nama Shaharim Sallehudin. – UTUSAN











