TANJUNG MALIM: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan sekolah di seluruh negara mempunyai kuasa autonomi untuk menangguhkan aktiviti luar sekolah termasuk merentas desa dan sukan sekiranya suhu semasa melebihi 35 darjah Celcius.
Ini berikutan cuaca panas dan kering di seluruh negara mutakhir ini yang boleh memberikan implikasi kesihatan terhadap murid terutamanya peringkat pra sekolah dan rendah.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, pihaknya memberi kuasa autonomi kepada JPN dan sekolah untuk menangguhkan sebarang aktiviti luar sekiranya suhu semasa melebihi 35 darjah Celcius.
“Pihak Kementerian Pelajaran (KPM) sebelum ini telah mengumumkan dari segi pemakaian baju sekolah yang sesuai semasa cuaca panas.
“Sementara itu, bagi aktiviti luar kelas, pihak JPN dan sekolah di seluruh negara boleh menentukan sama ada aktiviti luar boleh diteruskan atau dihentikan bergantung kepada keadaan.
“Sebarang keputusan seharusnya berpandukan garis panduan berhubung cuaca panas yang telah ditetapkan oleh KPM,” katanya pada sidang media di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Samak di sini hari ini.
Kah Woh turut melakukan lawatan kerja di tiga buah sekolah sekitar daerah itu iaitu SJKT Ladang Ulu Bernam 2, Sekolah Kebangsaan Ulu Bernam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Bernam bagi menyalurkan bantuan segera untuk kesejahteraan dan kemudahan golongan pendidik dan murid.
Berhubung sekolah kurang murid (SKM), beliau mengesahkan tiada sekolah jenis itu yang ditutup di seluruh negara setakat ini malah instisusi pendidikan itu terus diperkasa untuk kesejahteraan golongan pendidik dan setiap murid.
Katanya lagi, sekolah yang berkapasiti 150 orang murid dikategorikan sebagai SKM.
“Di seluruh negara, terdapat 3,308 buah sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah kurang murid dengan terdapat 419 sekolah di negeri ini (Perak).
“Bagi kesejahteraan murid, KPM telah merancang beberapa strategi bagi menangani isu ini di bawah inisiatif Pelaksanaan Pelan Hala Tuju SKM,” katanya.
Beliau memaklumkan, bagi menangani perihal SKM, beberapa langkah strategik telah diambil iaitu pelaksanaan kelas bercantum dengan pengajaran dan pembelajaran pelbagai gred.
“Bagi pelaksanaan kelas bercantum dilaksanakan dengan melibatkan pencantuman kelas tahun 2 dengan tahun 3 dan tahun 4 dengan tahun 5 di sekolah berenrolmen 30 murid ke bawah.
“Mekanismenya ialah penggabungan SKM iaitu pemindahan atau penempatan semula dan pengekalan sekolah berdasarkan keperluan.
“Bagi pelaksanaan kelas bercantum pula dilaksanakan dengan melibatkan pencantuman kelas tahun 2 dengan tahun 3 dan tahun 4 dengan tahun 5 di sekolah berenrolmen 30 murid ke bawah,” katanya. – UTUSAN










