Budaya ‘payung’ halang inisiatif, inovasi usahawan

Budaya ‘payung’ halang inisiatif, inovasi usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebergantungan syarikat-syarikat Malaysia terhadap peruntukan yang memakan berbilion ringgit daripada Khaza­nah Nasional Berhad (Khazanah) dijangka boleh menghalang ini­siatif dan inovasi keusahawanan.

Bagi penganalisis ekonomi, ia antara lain boleh mencetus ke­kurangan daya saing dalam pasaran global dan rasa ‘puas hati’ kerana kebergantungan yang berlebihan kepada perlindungan atau sokongan kerajaan.

Ahli-ahli akademik percaya, adalah penting bagi syarikat-syarikat Malaysia berusaha, ber­dikari, berinovasi dan berdaya saing tanpa bergantung duit atau mengamalkan budaya ‘payung’ bagi mendapatkan sokongan daripada sesuatu entiti.

MOHAMAD IDHAM MD. RAZAK

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewa­ngan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, di Malaysia, program bantuan dan sokongan kerajaan berleluasa dan terdapat risiko bantuan itu mewujudkan kebergantungan dalam kalangan badan perniagaan.

Katanya, walaupun sokongan kerajaan boleh memberi bantuan yang berharga, ia harus dilihat sebagai ‘tambahan’ sahaja dan bukan satu-satunya sumber dana.

“Usaha mengurangkan budaya ‘payung’ dan menggalak minda yang lebih keusahawanan sedang dijalankan di Malaysia. Inisiatif seperti menggalak pertumbuhan diterajui sektor swasta, memupuk budaya inovasi, mengambil risiko dan menambah baik akses kepada sumber dan pembiayaan untuk perniagaan adalah semua langkah ke arah yang benar.

“Akhirnya, keseimbangan perlu dicapai antara sokongan kerajaan dan memupuk persekitaran perniagaan dinamik dan berdaya saing, menyaksikan syarikat bo­leh berkembang maju melalui usaha dan inovasi sendiri.

“Apabila entiti terbiasa bergantung kepada bantuan kerajaan, mereka mungkin leka, mengabaikan peluang untuk pertumbuhan dan inovasi yang akan datang daripada bersaing dalam pasaran yang dinamik. Oleh itu, syarikat perlu mencari cara secara proaktif membeza diri mereka, menginovasi produk atau perkhidmatan dan meneroka pasaran baharu,” katanya ketika dihubungi semalam.

22 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa merasmikan Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berkata, Khazanah menyediakan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur syarikat Malaysia dalam berpertumbuhan tinggi yang inovatif.

Katanya, kerajaan pada Belanjawan 2024 menggariskan komitmen untuk syarikat Malaysia melibatkan usahawan bumiputera, syarikat baharu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain memusatkan agensi pelaburan seperti Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) dan Penjana Kapital di bawah Khazanah.

Mengulas lanjut, Mohamad Idham berkata, mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan boleh membawa ekonomi lebih berdaya tahan dan pemegang taruh lebih bersedia menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang berubah-ubah.

“Autonomi ini memupuk rasa akauntabiliti, menggalak syarikat untuk terus berusaha dan Malaysia boleh menarik pelaburan asing serta merangsang pertumbuhan ekonomi secara organik dan bukannya bergantung semata-mata kepada campur tangan kerajaan.

“Saya percaya, membebaskan diri daripada budaya ‘payung’ adalah penting untuk Malaysia merealisasi potensi penuhnya di pentas global,” katanya.

ABDUL RAHIM RIDZUAN

Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, UiTM Alor Gajah, Melaka, Profesor Madya Dr. Abdul Rahim Ridzuan berkata, pelaburan dalam usaha niaga inovatif berisiko dengan potensi kegagalan tinggi yang membawa kepada kerugian kewangan kepada Khazanah.

Jelasnya, ini kerana usaha niaga inovatif selalunya melibatkan idea, teknologi atau pasaran yang belum teruji, menjadikan kejayaan mereka tidak menentu.

Katanya, walaupun usaha niaga mempunyai potensi pulangan ketara, ia membawa risiko kegagalan lebih tinggi berbanding pelaburan yang lebih konvensional.

“Walaupun terdapat risiko, pelaburan dalam inovasi penting untuk pertumbuhan ekonomi kerana ia memacu kemajuan, produktiviti dan mencipta peluang baharu bagi penciptaan kekayaan.

“Dengan menyokong usaha niaga inovatif, Khazanah memainkan peranan penting memupuk budaya keusahawanan dan memacu peralihan negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Namun, penting bagi Khazanah mencapai keseimbangan antara mengejar peluang berisiko tinggi, ganjaran tinggi dan melindungi daripada potensi kerugian untuk memastikan kemampanan dan kestabilan jangka panjang,” katanya.

Katanya, bagi mengurangkan risiko itu, Khazanah boleh menggunakan pelbagai strategi seperti usaha wajar menyeluruh, kepelbagaian pelaburan dan perkongsian strategik.

“Khazanah boleh mempelbagai portfolio pelaburan merentas pelbagai sektor. Peringkat pembangunan boleh membantu menyebarkan risiko dan meminimum kesan daripada kegagalan, bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain seperti pakar industri, ahli akademik dan sektor swasta untuk menyokong kejayaan usaha niaga yang inovatif.

“Walaupun risiko kegagalan wujud dalam pelaburan dalam inovasi, amalan pengurusan risiko yang berhemat boleh membantu Khazanah mengharungi cabaran dan memaksimumkan potensi kejayaan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN