IPOH: Bedah siasat terhadap 10 mangsa yang maut dalam kejadian helikopter terhempas di Lumut hari ini dijangka selesai tengah hari esok.
Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dalam satu kenyataan memberitahu, jenazah semua mangsa tiba sekitar pukul 6 petang tadi di Jabatan Forensik hospital itu untuk bedah siasat.
“Prosedur bedah siasat telah dimulakan dan dijangka dapat disiapkan pada lewat tengahari esok.
“HRPB dengan ini memohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang memastikan prosedur bedah siasat serta pengecaman mangsa dapat dijalankan dengan lancar oleh pihak Jabatan Forensik HRPB, selain menghormati privasi waris mangsa,” katanya di sini.
Terdahulu, TLDM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada 9.32 pagi tadi.
Katanya, insiden itu melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.
Tujuh mangsa yang berada di dalam helikopter HOM-AW139 ialah Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Pegawai Waran II, Muhammad Faisol Tamadun dan Pegawai Waran II Noorfarahimi Mohd Saedy (penumpang).
Selain itu, mangsa yang terkorban ialah Bintara Muda Noor Rahiza Anuar (penumpang) dan Laskar Kelas I Joanna Felicia anak Rohna (penumpang).
Sementara itu, tiga lagi yang terkorban berada di dalam helikopter Fennec (M502-6) ialah Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan dan Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi.
Kedua-dua helikopter terbabit berlepas dari padang Sitiawan, Perak pada pukul 9.03 pagi tadi sebelum bertembung di udara pada pukul 9.45 pagi.
Helikopter HOM-AW139 dilaporkan terhempas di dalam kawasan Stadium TLDM Lumut manakala helikopter Fennec terhempas dekat kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut. – UTUSAN










