KAJANG: Seorang bapa didakwa atas pertuduhan membunuh anak kandung berusia enam bulan di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohamad Aizat Samin, 25, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd. Nawawi.
Pengakuan tidak direkodkan kerana kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
“Faham, (pertuduhan)” katanya ringkas.
Mengikut pertuduhan Mohamad Aizat didakwa membunuh anak kandungnya Muhammad Aysar Wildan yang berusia enam bulan di sebuah unit pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini antara pukul 8 malam pada 14 April hingga 7 pagi pada 15 April lalu.
Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman manakala tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan diwakili peguam Arif Azmi.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Mei ini bagi sebutan semula kes selain mengetahui perkembangan laporan kimia, bedah siasat, toksikologi dan forensik.
Sebelum ini media melaporkan seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini pada Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohamad Nasir Drahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa kandung bayi berkenaan kira-kira pukul 8.52 pagi.
Mohamad Nasir berkata, bagaimanapun hasil pemeriksaan awal mendapati, tiada kecederaan dikesan pada badan mangsa sebelum dihantar ke Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat.
Bagaimanapun, pakar mengesahkan kecederaan mangsa bukan disebabkan kemalangan tetapi disebabkan perbuatan jenayah ke atas mangsa. Ia apabila bayi malang itu mengalami keretakan di kepala akibat dihentak pada sofa.
Selain kecederaan itu, mulut mangsa juga disumbat dengan kain, badan ditelangkup sebelum dibiarkan dalam bilik tanpa dipasang kipas. – UTUSAN










