Armizan ingatkan Bung, tuding jari tidak selesaikan isu

Armizan ingatkan Bung, tuding jari tidak selesaikan isu

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengingatkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa perbuatan suka menuding jari dan menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan sebarang isu.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali  berkata, ini kerana Bung Moktar sendiri pernah memegang jawatan menteri dan Timbalan Ketua Menteri Sabah.

“Semalam Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor) telah membuat ulasan tentang kenyataan tersebut. Bagi saya mudah, mereka bebas dan  itu hak mereka untuk memberikan kenyataan, namun bagi saya rata-rata pemimpin di Sabah ini adalah orang lama dalam politik. Dalam kita bercakap menuding jari kepada orang lain, jangan lupa ada empat jari lagi yang menghala ke arah diri kita sendiri.

“Ini kerana setiap pemimpin akan dinilai berdasarkan rekod mereka, masing-masing pernah jadi menteri, timbalan ketua menteri dan berpuluh-puluh tahun menjadi ahli Parlimen.

“Kita tuding jari kepada orang tidak menyelesaikan isu, jangan lupa bahawa (Bung Moktar) juga pernah berada dalam pentadbiran kerajaan itu,” katanya menerusi sidang akhbar selepas melakukan lawatan di Pusat Arahan Penguat Kuasa (ECC) di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan itu bahawa pemimpin GRS ‘hanya pandai cakap, tiada tindakan’ dan menuduh mereka berulang kali membuat pengumuman tanpa menyelesaikan sebarang masalah di negeri berkenaan.

Menurut Armizan, masyarakat kini terutama rakyat di negeri Sabah juga sudah bijak menilai para pemimpin berdasarkan prestasi kerja dan bukannya berdasarkan kata-kata sahaja.

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua menteri turun padang ke lokasi perniagaan menggambarkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu harga dan bekalan barang keperluan.

“Kita tahu semua pemimpin sentiasa turun padang, namun PM mahu semua turun padang dan melihat kepada aspek bekalan dan harga.

“Jadi, ini menggambarkan bukan hanya beliau sendiri sahaja yang turun ke bazar Ramadan dan sebagainya, tetapi arahkan juga semua menteri Kabinet untuk berbuat demikian,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN