ALOR SETAR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menawarkan diri untuk membantu kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan bekalan beras yang meruncing ketika ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, melalui kerjasama dengan rangkaian koperasi antarabangsa terutama dari negara jiran, Angkasa melalui koperasi di bawahnya mampu menjadi pengimport bahan itu.
“Ini adalah antara isu ahli koperasi iaitu tidak dapat bekalan beras. Selain itu, Angkasa juga berada dalam NACCOL (Majlis Tindakan Sara Hidup Negara) dan kita berbincang untuk cari jalan keluar isu ini. Banyak ruang yang boleh ditambah baik.
“Angkasa tawarkan diri jadi pengimport beras dari koperasi negara jiran. Pada awal tahun dulu kita menghadiri mesyuarat Pejabat Perniagaan Asia Pasifik di Thailand yang memberikan peluang kepada kita berbincang dengan menteri koperasi Thailand berkaitan perkara ini. Negara itu tawarkan peluang ini kepada kita,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Negeri Angkasa Kedah di sini, hari ini.
Beliau menambah, usaha itu diyakini sedikit sebanyak akan membantu rakyat khususnya ahli koperasi Angkasa menangani masalah kekurangan bekalan beras itu.
“Perkara ini bukan senang kerana konsesi beras ini diberikan kepada pihak tertentu. Tetapi kita akan ambil segmen untuk ahli koperasi sahaja yang seramai 7.3 juta dan kacau konsesi lain.
“Hujung bulan ini kita akan menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa – Asia Pasifik berkaitan usaha mempermudahkan cara dalam menguruskan beras import di Jordan. Kita berharap usaha kita ini akan dipermudahkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kata Abdul Fattah memberitahu, Angkasa yakin saranan kerajaan agar badan itu mencapai perolehan sebanyak RM73 bilion menjelang 2030 akan tercapai.
“Sekarang perolehan koperasi kita adalah sebanyak RM64.5 bilion kita perlu capai kurang RM10 bilion sahaja lagi. Saya rasa itu bukan mustahil melihat kepada pertumbuhan kewangan koperasi kita sebanyak 10 peratus setiap tahun.
“Sehubungan itu kita akan terus memperkasakan lagi koperasi di bawah Angkasa ini melalui penerokaan bidang baharu seperti dalam e-Dagang, kenderaan elektrik (EV) dan perdagangan karbon seperti tenaga solar. Kita juga meminta supaya ahli lembaga pengarah koperasi lebih berani kalau tidak koperasi mereka tak berkembang,” katanya. – UTUSAN










