PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir membabitkan lima negeri termasuk Selangor.
Menurut satu hantaran Facebook Met Malaysia, amaran ribut petir sehingga pukul 4 petang ini dijangka membawa hujan lebat dan angin kencang di Selangor membabitkan kawasan Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
Selain itu, keadaan sama berlaku di Perak dengan beberapa lokasi seperti Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Mualim.
Amaran sama juga di Terengganu (Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin) serta Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata hantaran tersebut. – UTUSAN










