Pulau Pinang ambil langkah awal lindungi rakyat daripada El Nino

Pulau Pinang ambil langkah awal lindungi rakyat daripada El Nino

S. SUNDARAJOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah kesiapsiagaan termasuk pemantauan cuaca, sistem amaran awal, pelan kesihatan awam dan bantuan kepada rakyat bagi menghadapi fenomena El Nino menjelang hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Perumahan negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, persediaan itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) juga telah mengaktifkan beberapa mekanisme awal bagi memastikan tahap kesiapsiagaan negeri sentiasa berada pada tahap optimum.

“Antara langkah utama yang dilaksanakan termasuk pemakluman status El Nino setiap bulan, hebahan harian status cuaca panas serta ramalan hari tanpa hujan sekurang-kurangnya tujuh hari berturut-turut kepada agensi berkaitan.

“Kerajaan negeri juga menggunakan produk Fire Danger Rating System (FDRS) untuk memantau risiko kebakaran hutan sehingga tujuh hari ke hadapan selain pengeluaran ramalan jerebu menerusi Community Multiscale Air Quality Modeling (CMAQ),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Sundarajoo (PH-Prai) berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) mengenai persiapan kerajaan negeri dalam menghadapi fenomena El Nino.

Sundarajoo berkata, kerajaan negeri sentiasa membantu golongan B40 menerusi program turun padang dan penyampaian maklumat secara terus kepada komuniti berkaitan risiko El Nino serta langkah perlindungan yang perlu diambil.

Katanya, bantuan kewangan turut disediakan kepada mangsa bencana melalui Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas manakala waris mangsa korban bencana menerima RM10,000.

“Kerajaan negeri juga menyediakan Bantuan Tabung Bencana Negeri Pulau Pinang kepada mangsa yang mengalami kerosakan kediaman dengan kadar sagu hati sebanyak 20 peratus daripada nilai kerosakan tertakluk kepada minimum RM200 dan maksimum RM10,000,” katanya.

Bagi menghadapi kemungkinan kejadian ribut dan puting beliung susulan fenomena El Nino, Sundarajoo berkata, kerajaan negeri mempertingkat sistem amaran awal menerusi Penang Alert selain penggunaan Modul Disaster and Weather Monitoring oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk pemantauan cuaca masa nyata dan pengesanan impak ribut.

Beliau berkata, aspek penyelenggaraan infrastruktur turut diberi perhatian termasuk kerja memangkas pokok berisiko, penyelenggaraan jalan dan jambatan serta pembaikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terjamin. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN