HULU TERENGGANU: Hasrat seorang pemuda membantu rakannya yang terjatuh setelah tergelincir dari atas batu di Air Terjun Belukar Bukit, dekat sini, bertukar tragedi apabila dia ditemukan lemas, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Syafiq Haiqal Sharufin, 25, dari
Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Kuala Terengganu terlebih dahulu cuba membantu selamatkan rakan sebayanya, Danie Asmadi.
Mangsa dijumpai lebih kurang pukul 12 tengah hari di celah batu bahagian bawah air terjun sedalam 1.5 meter oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurut Danie, ketika dia sedang berjalan atas batu, dia tiba-tiba tergelincir hingga terjatuh ke dalam air lalu mangsa yang berada berdekatan berusaha menolongnya dengan menghulurkan kaki.
“Kejadian berlaku sekelip mata, ketika itu mangsa pula tergelincir dan terjatuh dalam air sehingga dia tenggelam timbul beberapa kali. Saya cuba bantunya dua kali tetapi gagal.
“Saya berjaya naik semula ke atas batu. Selain kami berdua, terdapat empat lagi rakan yang lain bersama tetapi sewaktu kejadian ada yang sedang berehat serta berada di kawasan air cetek.
“Kawan-kawan yang lain kemudiannya meminta pertolongan dengan petugas yang berada di kaunter air terjun berkenaan. Namun, Syafiq Haiqal telah hilang dari pandangan sehinggalah dia ditemukan lemas oleh bomba, ” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini.
Tambah Danie, dia tidak menyangka kegembiraan beriadah bertukar duka dan sedih kehilangan sahabat yang sanggup pertaruhan nyawa demi membantu selamatkannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, mangsa ke air terjun berkenaan bersama lima rakan yang lain.
“Kejadian berlaku sewaktu mangsa cuba selamatkan salah seorang kawannya yang hampir lemas. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
“Rakannya itu terselamat namun mangsa ditemukan lemas. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya. -UTUSAN










