SIK: “Arwah ada sebut untuk ambil gambar kami bertiga dulu kerana dia kata takut seorang hilang, maka kakak balik nanti akan ganti,” ujar Noryani Tamadun, 50.
Kakak sulung kepada Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, 36, berkata, dia terpinga-pinga ketika mendengar ungkapan adik bongsunya itu pada 1 Syawal lalu yang pulang berhari raya bersama isteri dan dua anaknya.
Namun, Noryani berkata, dia kini seakan sudah memahami maksud sebenar adiknya itu setelah mendapat berita pemergian arwah yang merupakan salah seorang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, pagi tadi.
“Kami empat beradik dan arwah paling bongsu, pagi raya itu seorang lagi adik perempuan saya belum sampai dari Lipis, Pahang sebab itu dia ajak kami bertiga dahulu bergambar.
“Dia kata mungkin ini gambar terakhir kami, dia peluk saya pun kata ini pelukan terakhir. Saya kata jangan buat sedih sangat nanti akan jumpa lagi tapi saya tetap rasa pelik kenapa dia cakap seorang akan hilang, masa nak balik pun dia cakap kita jumpa terakhir dah ini,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, seramai 10 orang dilaporkan maut dalam nahas dua buah helikopter milik TLDM terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut, pagi ini. Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di situ dilaporkan sedang menjalani raptai sempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.
Muhammad Faisol yang merupakan Kru Udara Skuadron 503 antara yang berada dalam helikopter HOM-AW139 yang terlibat pertunjukkan sempena Sambutan HUT TLDM ke-90 awal bulan depan.
Noryani berkata, dia reda dengan pemergian adiknya yang kini bertugas di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia pada Januari dan Ogos tahun lalu.
Katanya, arwah yang lebih mesra dengan panggilan Adik Mat sangat manja dengan adik beradik lain dan dalam perancangan untuk bersara dalam tempoh dua tahun lagi.
“Arwah dijangka akan kembali bertugas di Lumut hujung tahun ini, selepas itu dia akan pencen dan mahu tinggal di rumah peninggalan orang tua kami di Kampung Tanah Hitam, di sini.
“Rumah itu memang arwah ayah beri kepada adik, dia kata nak buat inap desa dulu sebelum dia pencen dan bawa anak-anak serta isterinya pulang,” katanya.
Selain itu, Noryani berkata arwah juga bersemangat untuk mengadakan latihan di Pangkalan TLDM Lumut kerana dapat berjumpa isterinya, Nor Syuhada, 37, yang merupakan guru di Sri Iskandar.
“Dia pun ajak kami tengok pertunjukkan sempena Sambutan HUT TLDM ke-90 awal bulan depan, tapi saya sudah cakap dengan dia kami tak dapat pergi kerana terlalu jauh dan anak-anak saya pun bersekolah,” katanya.
Noryani berkata jenazah Muhammad Faisol yang meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak perempuan berusia 10 dan enam tahun dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam, di sini. -UTUSAN










