PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendedahkan terdapat pengusaha stesen minyak menerima ugutan daripada sindiket penyeludupan supaya terus menjual diesel bersubsidi kepada mereka.
Menurut menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali, selain menerima ugutan, ada dalam kalangan pengusaha stesen minyak terbabit turut didatangi kumpulan samseng.
Jelas beliau, pihaknya juga menerima pelbagai laporan berhubung perkara itu termasuk yang diadukan terus kepadanya dan diterima daripada syarikat pembekal minyak.
“Modus operandi mereka (penyeludup) amat kemas, difahamkan ada yang datang bersama gangster, samseng dan sebagainya.
“Jadi kita tengah kumpul maklumat, termasuk bekerjasama dengan polis dan syarikat pembekal minyak. Kita mahu menghalang perkara ini daripada terus menjadi sistemik,” katanya dalam sidang akhbar berhubung persediaan pelaksanaan penggunaan ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Armizan berkata, ada dalam kalangan pengusaha stesen minyak tidak berani untuk melaporkan kejadian terbabit berikutan bimbang tentang keselamatan diri, pekerja serta premis mereka.
“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku dan ini antara aspek pengurusan risiko yang kita ingin laksanakan melalui penyasaran subsidi.
“Jadi dari segi tanggungjawab syarikat stesen minyak itu, mereka akan bebas daripada risiko dan menghalang sindiket tertentu membeli diesel ini pada kadar subsidi untuk dijual kepada industri dan menyeludup ke luar sempadan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, KPDN akan terus menjalankan penguatkuasaan yang lebih agresif bagi menangani kegiatan ketirisan dan penyeludupan. – UTUSAN










