600 petugas TH berlepas ke Arab Saudi minggu ini

600 petugas TH berlepas ke Arab Saudi minggu ini

SYED Saleh Syed Abdul Rahman (baris depan, empat dari kanan) dan Dr. Sharifudin (baris depan, tiga dari kanan) bersama peserta-peserta pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH) di Port Dickson, semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seramai 600 petugas Tabung Haji (TH) akan mula digerakkan ke Arab Saudi bermula minggu ini bagi memudahkan urusan jemaah haji termasuk bagi menyambut penerbangan kumpulan pertama jemaah haji dari Malaysia ke tanah suci yang dijadual berlepas pada 9 Mei ini.

Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kesemua mereka akan ke Madinah dan Mekah bagi menyiapkan semua kemudahan termasuk pejabat dan klinik untuk menerima jemaah haji dari tanah air.

“Alhamdulillah, setakat ini semua persiapan telah dilaksanakan dengan baik contohnya daripada segi penginapan dan pengangkutan dan penyediaan makanan, semuanya sudah sedia untuk terima jemaah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH) di sini semalam.

Yang hadir sama, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani.

Dalam pada itu, Syed Saleh menasihatkan para jemaah haji Malaysia untuk tidak bimbang berkaitan konflik di Asia Barat ketika ini.

“Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi akan memberikan tumpuan dan penekanan kepada keselamatan jemaah haji, sudah tentu aspek keselamatan akan dilihat supaya jemaah haji yang datang datang dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.

“Itu tugas dan tanggungjawab kerajaan dan saya amat percaya kerajaan Arab Saudi seperti tahun sebelum ini juga telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan cukup berkesan apabila menangani pelbagai situasi konflik termasuk wabak penyakit, bencana.

“Saya harap jemaah haji kita supaya tidak risau dan jangan fikir terlalu jauh, apa yang penting dalam masa yang tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum berangkat ke Tanah Suci, buat persiapan secukupnya untuk pergi ke Tanah Suci dan apabila berada di sana tumpulah perhatian kepada ibadat,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, Program Pengajian EPIH yang sebelum ini dikenali sebagai SPIH (Sijil Pembimbing Ibadat Haji) mula diperkenalkan sejak tahun 2010 hasil usahasama TH dan USIM.

Menurutnya, ia sebagai usaha untuk memastikan setiap Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) melalui proses pembelajaran berbentuk akademik secara sistematik dan berkesan untuk membimbing jemaah haji di tanah Air dan Tanah Suci. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN