Pakistan berjanji pertahan Mekah, Madinah daripada serangan Houthi - Utusan Malaysia

Pakistan berjanji pertahan Mekah, Madinah daripada serangan Houthi

ARAB SAUDI akan dibantu Pakistan bagi menghadapi serangan dron dan peluru berpandu Houthi dari Yemen. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Pakistan memberi jaminan akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Arab Saudi daripada sebarang serangan, ketika kumpulan Houthi dari Yemen menyerang  negara beraja itu sekali gus menguji perjanjian pertahanan bersama antara kedua-dua negara.

Ketua Pengarah Perhubu­ngan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR) Tentera Pakistan, Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry berkata demikian kepada Arab News kelmarin, susulan beberapa serangan peluru berpandu dan dron Houthi yang disokong Iran  terhadap bandar-bandar di Arab Saudi.

“Pakistan berdiri teguh bersama Kerajaan Arab Saudi, dari segi diplomatik dan fizikal. Saya ingin menegaskan perkataan fizikal itu, kami akan melakukan apa sahaja,” katanya.

Ahmed Sharif berkata, komitmen Pakistan turut merangkumi usaha melindungi dua tapak paling suci umat Islam di Mekah dan Madinah.

“Tiada sebarang keraguan mengenai perkara itu. Kami akan terus mempertahankan kerajaan Arab Saudi daripada sebarang pencerobohan,” katanya.

Serpihan dron yang dipintas mengorbankan seorang dan mencederakan dua lagi di Taif pada Khamis, manakala lebih 80 orang dilaporkan cedera dalam beberapa serangan sejak kebelakangan ini. 

Gabungan tentera diketuai Arab Saudi yang memerangi Houthi di Yemen turut memaklumkan minggu ini pihaknya memintas sebuah dron Houthi yang menuju ke ruang udara di sekitar Mekah.

Dalam perkembangan berasingan, dron yang dilancarkan dari Iraq merosakkan tiga stesen pam di Laluan Paip Timur-Barat Arab Saudi, menyebabkan laluan penting untuk eskport mi­nyak itu ditutup sementara.

Kenyataan Ahmed Sharif itu lebih tegas berbanding pendirian umum Islamabad minggu lalu, apabila Kementerian Luar Pakistan berkata, tiada tindak balas ketenteraan sedang di­bincangkan di bawah Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah.

Menerusi perjanjian itu, serangan bersenjata terhadap Pakistan, Arab Saudi atau Turkiye dianggap sebagai serangan ke atas ketiga-tiga negara, manakala Islamabad sebelum ini berkata, pihaknya akan bertindak apabila tiba masa.

Perjanjian yang ditandatangani pada 7 Ogos bertujuan memperkukuh usaha pencegahan secara bersama antara ketiga-tiga negara, selain dibina berasaskan Perjanjian Pertahanan Bersama Strategik yang ditandatangani Pakistan serta Arab Saudi pada September 2025.

Perjanjian terdahulu itu turut menetapkan sebarang pencerobohan terhadap satu daripada negara tersebut dianggap sebagai serangan ke atas kedua-duanya.

Bagaimanapun, butiran penuh pelaksanaan kedua-dua perjanjian tersebut tidak didedahkan kepada umum, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai bentuk tindak balas ketenteraan yang perlu diambil berdasarkan perjanjian itu.

Pakistan sememangnya sudah mempunyai kehadiran tentera yang besar di Arab Saudi. Mei lalu, Islamabad mengerahkan kira-kira 8,000 tentera, skuadron jet pejuang JF-17, dron dan sistem pertahanan udara HQ-9 ke negara itu, lapor Reuters.

“Komitmen kami terhadap keselamatan Arab Saudi adalah tanpa syarat,” kata Ahmed Sharif.

Arab Saudi turut mendapatkan sokongan daripada beberapa sekutunya termasuk Britain, Perancis dan Mesir, ketika  serangan berulang Houthi memberi tekanan terhadap bekalan sistem pertahanan peluru berpandu negara, lapor Associated Press minggu ini.

Pada Julai, gencatan senjata rapuh yang dicapai pada 2022 antara Houthi dan kerajaan runtuh selepas kumpulan itu membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di Sanaa, mencabar kawalan Riyadh ke atas ruang udara Yemen, sekali gus mencetuskan satu siri serangan.

Perang saudara di Yemen sebahagian besarnya reda sejak 2022.

Namun,  pertempuran kembali tercetus pada Julai apabila kumpulan Houthi, yang selama bertahun-tahun menguasai sebahagian besar kawasan utara negara itu, melancarkan serangan besar-besaran terhadap pa­sukan kerajaan disokong daripada Arab Saudi.  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×