KOTA BHARU: Seramai 54 banduan kes dadah dan bunuh terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini menggantikan hukuman tersebut dengan penjara antara 30 tahun hingga 38 tahun.
Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersidang bersama-sama Ketua Hakim Sabah dan Sarawak serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.
Dalam keputusan itu, banduan kes dadah dikenakan hukuman penjara selama 30 tahun manakala 35 hingga maksimum 38 tahun bagi kes bunuh.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah menerima permohonan kesemua tertuduh yang dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Persidangan Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini bermula kelmarin dan semalam melibatkan enam kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 48 kes dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










