341 kes kebakaran terbuka di Terengganu - Utusan Malaysia

341 kes kebakaran terbuka di Terengganu

HASSAN 'As’ari Omar (kanan) melakukan pelepasan bendera bagi jentera pada pelancaran Ops Siaga Raya dan Kempen Keselamatan Kebakaran di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, petang semalam. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu merekodkan 341 jumlah kes kebakaran terbuka dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah JBPM negeri, Hassan ‘As’ari Omar, berkata, daripada jumlah itu, 298 merupakan kes kebakaran di kawasan belukar dan lalang, pusat pelupusan sampah (23), hutan (16) serta kebun (4).

Menurut beliau, faktor cuaca kering dan musim kemarau ketika ini mendorong peningkatan jumlah kebakaran diterima JBPM terutama di kawasan berisiko di seluruh negeri.

Katanya, orang ramai terutama pengusaha pusat pelupusan sampah dinasihat agar tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan api merebak lebih buruk.

“Jumlah laporan kebakaran terbuka menunjukkan peningkatan iaitu 390 kes pada 2022 dan 976 kes pada 2023 manakala sejak Januari sehingga Mac tahun ini saja kita sudah terima 341 kes.

“Dalam tempoh sama tahun ini juga, JBPM negeri melaksanakan 1,150 operasi dengan 556 daripadanya melibatkan panggilan kecemasan, 496 panggilan penyelamatan dan 98 tugas-tugas khas,” katanya.

Hassan ‘As’ari berkata demikian pada Majlis Pelancaran Ops Siap Siaga Raya dan Kempen Keselamatan Kebakaran JBPM Negeri Terengganu di Jambatan Angkat, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebagai persediaan menghadapi musim perayaan, hanya 30 peratus daripada 806 pegawai dan anggota JBPM seluruh negeri dibenarkan bercuti.

Menurut Hassan ‘As’ari, ini membolehkan agensi menyelamat itu melaksanakan operasi dengan berkesan sekiranya berlaku kecemasan dalam tempoh Ops Siap Siaga Raya bermula 8 sehingga 13 April.

“Sebagai langkah persediaan peningkatan aliran trafik juga, kita akan menempatkan sepasukan 15 pegawai dan anggota dengan empat jentera di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing.

“Mereka akan bertugas secara penggiliran bagi memberikan respon segera jika berlaku apa-apa kecemasan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 membabitkan pengguna jalan raya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN