3 mangsa ‘scam’ terkandas di Bangkok kerana Songkran

3 mangsa ‘scam’ terkandas di Bangkok kerana Songkran

HISHAMMUDIN Hashim bercakap pada sidang akhbar di KLIA Terminal 1, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Hasrat sekumpulan tiga warga Malaysia yang berjaya bolos diri daripada sindiket pemerdagangan manusia yang sepatutnya pulang ke tanah air lewat semalam terbantut.

Situasi tersebut yang julung kali berlaku, bukan disebabkan tiada tiket penerbangan balik namun ekoran kesesakan teruk di Bangkok, Thailand kerana musim perayaan Songkran.

Perkara berkenaan disahkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim ketika ditemui pemberita.

“Jika ikut jadual sudah naik pesawat tetapi ada masalah jalan sesak sambutan Songkran,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini awal pagi tadi.

Festival tersebut yang juga Tahun Baharu bagi penganut Buddha di Thailand merupakan cuti umum rasmi dengan diraikan awal April dan berlangsung selama tempoh dua minggu.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, pihaknya telah pun menempah tiket pesawat Thai Airways penerbangan TG417 dari Bangkok yang sepatutnya tiba di KLIA malam semalam namun setelah beberapa jam menanti di balai ketibaan Terminal 1, kelibat mereka langsung tidak muncul.

“Saya segera mengarahkan aktivis yang menyelia mangsa ini, Azirul Syafiq Sazali untuk menghubungi pihak imigresen Thailand sebelum kami diberitahu cerita sebenar,” jelasnya.

Difahamkan, urusan penghantaran pulang tersebut diuruskan oleh unit pengusiran jabatan berkenaan dari depoh tahanan imigresen di Bangkok setelah selesai urusan dokumentasi.

Walau bagaimanapun petugas pejabat berkenaan kata Hishamuddin, secara kebetulan pula masih ada lagi yang tiada kerana cuti panjang dari 12 April lalu sehingga Selasa lepas.

Pada masa sama, agensi tersebut tidak dapat melakukan penghantaran balik pendatang asing disebabkan faktor risiko kesesakan trafik amat teruk menuju ke lapangan terbang.

Justeru ujarnya, proses pengusiran semula itu dijangka dapat dilaksanakan hari ini tetapi mungkin mengambil masa beberapa hari lagi bergantung kepada slot penerbangan.

“Mujur pihak imigresen Thailand memberikan jaminan bahawa mereka akan menanggung sendiri pembelian semua tiket pesawat untuk mangsa terbabit dapat pulang,” tambahnya.

Tiga rakyat Malaysia itu masing-masing berasal dari Sarawak, Melaka dan Johor menjadi mangsa penipuan jenayah tawaran pekerjaan palsu dengan syarikat yang dikenali Yatai.

Mereka kata Hishamuddin, dikerah sebagai ‘scammer’ menyasarkan pelanggan di negara ini dalam urusan pembelian atas talian bagi produk tertentu yang sebenarnya tidak wujud. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN