CYBERJAYA: Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dijangka memasarkan kira-kira 200 judul buku keluaran negara ini untuk sejumlah 1,000 buah universiti di seluruh China.
Pengarahnya, Mohd. Khair Ngadiron berkata, inisiatif agensi di bawah Kementerian Pendidikan itu bakal meneroka pasaran China terutama penerbitan berbahasa Melayu.
“Kita berharap usaha terbaharu MBKM ini selaras dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China yang juga bakal disambut pada hujung Mei nanti,” katanya selepas menyaksikan Majlis Prapelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan di sini hari ini.
Program edisi ke-41 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur dari 24 Mei hingga 2 Jun itu juga akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei.
Mengulas lanjut, Mohd. Khair berkata, sejajar pemasaran buku-buku itu secara agresif ke China, pihaknya juga berhasrat menyertai Pesta Buku Antarabangsa Beijing pada Jun ini, acara terbesar seumpamanya di benua Asia, malah kedua terbesar di dunia selepas Frankfurt, Jerman.
Pesta berkenaan ujarnya, menghimpunkan lebih 2,600 pempamer daripada lebih 100 buah negara dan wilayah setiap tahun yang berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional China.
Sementara itu, menyentuh PBAKL, beliau menjangkakan sasaran 1.5 juta pengunjung mampu dicapai kali ini berbanding cuma 1.4 juta yang direkodkan pada edisi tahun lepas.
“Acara kali ini paling besar dalam sejarah kerana disertai sejumlah 972 reruai melibatkan kira-kira 226 syarikat serta pembabitan daripada 14 buah negara luar,” kata Mohd. Khair. – UTUSAN










