PETALING JAYA: Kumpulan penyokong tegar skuad kebangsaan, Ultras Malaya tetap meneruskan kempen boikot terhadap skuad Harimau Malaya sehingga 31 Ogos ini, menyaksikan aksi Piala Hyundai ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras akan berlangsung tanpa kehadiran kumpulan penyokong berkenaan.
Pendirian tersebut dimuat naik di platform Facebook, Ultras Malaya semalam sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan mereka kembali memenuhi stadium bagi memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya kendalian pengendali interim,Tan Cheng Hoe.
Keputusan itu bermakna dua aksi Harimau Malaya di laman sendiri menentang Laos pada 28 Julai dan Filipina pada 8 Ogos depan bakal berlangsung tanpa kehadiran Ultras Malaya.
Dalam kenyataan berkenaan, Ultras Malaya berkata, boikot yang dibuat sejak 1 Mei lalu masih berkuat kuasa dan diteruskan sehingga segala tuntutan dibangkitkan sebelum ini dipenuhi.
“Selepas segala yang telah berlaku, sedang berlaku dan bakal berlaku, eloklah kita semua, Ekor Harimau Malaya, bersatu hati.
“Kita kosongkan stadium. Boikot sehingga semua tuntutan berasas kita dipenuhi dan bola sepak kita dipulihkan untuk rakyat.
“Bukan untuk dijadikan mainan golongan bangsawan. Bukan untuk dijadikan hiburan masa lapang golongan elit. Bukan untuk dijadikan alat percaturan politik.
“Kita semua layak mendapatkan bola sepak yang adil, jujur berintegriti. Kembalikan bola sepak kepada rakyat,” menurut kenyataan tersebut.
Pendirian tegas Ultras Malaya itu dijangka memberi kesan kepada suasana perlawanan Harimau Malaya, memandangkan kumpulan berkenaan sering menjadi pencetus atmosfera luar biasa setiap kali skuad kebangsaan beraksi di laman sendiri.
Sejak bertahun-tahun lalu, Ultras Malaya dikenali sebagai kumpulan penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan kebangsaan tidak kira ketika menang mahupun kalah, malah kehadiran mereka sering dianggap sebagai pemain ke-12 buat Harimau Malaya.
Namun, kemelut yang melanda bola sepak negara sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyaksikan kumpulan itu mengambil keputusan melancarkan boikot sebagai tanda protes terhadap beberapa isu yang mereka sifatkan perlu diberi perhatian serius.
Skuad kebangsaan dijadual memulakan cabaran Kumpulan B menentang Myanmar di Yangon pada 25 Julai sebelum melayan kunjungan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, tiga hari kemudian.
Harimau Malaya kemudian akan bertandang ke Bangkok bagi menghadapi Thailand pada 1 Ogos sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang Filipina di Cheras pada 8 Ogos. – UTUSAN










